Bajet 2022 dibentang di Dewan Rakyat hari ini

Sebagai bajet pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan, tiga matlamat utama Bajet 2022 digariskan
Sebagai bajet pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan, tiga matlamat utama Bajet 2022 digariskan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Bajet 2022 akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada jam 4 petang hari ini oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sebagai bajet pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan, tiga matlamat utama Bajet 2022 digariskan, iaitu melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

Berdasarkan kenyataan Pra-Bajet pertama dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) pada Ogos, kerajaan akan memastikan bajet bersifat komprehensif dan inklusif, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

Mengambil semangat itu, tiada individu atau perniagaan yang tercicir dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan, terutamanya mereka yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan pada 2021.

Bagi memastikan negara berjaya pulih dan keluar daripada kemelut ini, Bajet 2022 akan terus melindungi dan memulih kehidupan dan mata pencarian pascapandemik.

Kerajaan juga akan memacu pemulihan bagi sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

Bajet 2022 juga akan menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

Di samping itu, usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Bajet 2022 akan menekankan usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara untuk menghadapi krisis kesihatan.

Ia termasuk melalui peningkatan kapasiti dan kualiti, memperkasa modal insan dalam sektor berkenaan serta menjalinkan kerjasama lebih erat antara penyedia perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Di samping itu, Bajet 2022 akan turut memberikan penekanan ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan.

Bajet 2022 turut akan mengkaji kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara yang terkesan disebabkan komitmen kerajaan dalam menampung pakej rangsangan dan bantuan untuk rakyat dan perniagaan. -Awani