Kejuaraan Terbuka Malaysia batal lagi

Lund
Lund
A
A
A

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) pada Khamis mengesahkan bahawa kejuaraan Terbuka Malaysia dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut.

Tanpa menyatakan sebarang sebab, BWF selaku badan induk dunia mengumumkan pembatalan kejohanan ‘Jelajah Dunia Super 750’ itu bersama pengumuman jadual baharu kalendar 2022 dalam laman sesawang rasmi mereka, www.bwfbadminton.co.

Terbuka Malaysia 2021 pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 30 Mei di Arena Axiata, sebelum ditangguhkan pada awal Mei, disebabkan peningkatan kes Covid-19 pada ketika itu.

Edisi 2020 yang dijadualkan pada 31 Mac sehingga 5 April tahun lepas juga telah dibatalkan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu BWF mengumumkan bahawa Terbuka Malaysia tahun hadapan dijadualkan berlangsung dari 28 Jun hingga 3 Julai, diikuti dengan Masters Malaysia 5 hingga 10 Julai.

Mengikut kalendar yang dikeluarkan itu, musim 2022 akan bermula di India dengan tiga kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka India dari 11 hingga 16 Januari, Antarabangsa India Syed Modi (18 hingga 23 Januari), Terbuka Odisha (25-30 Januari), dan Seluruh England pada 16 hingga 20 Mei.

Peringkat Akhir Piala Thomas dan Piala Uber 2022 akan berlangsung dari 8 hingga 15 Mei di Bangkok, Thailand dan Kejuaraan Dunia dihoskan Jepun dari 21 hingga 28 Ogos.

Sementara musim 2022 akan ditutup dengan Jelajah Dunia BWF Akhir yang akan berlangsung 14 hingga 18 Disember di Guangzhou, China.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund berkata, kalendar tahun hadapan mempunyai beberapa kejohanan kluster yang dirancangkan, bagi mengurangkan kesukaran masalah pergerakan antara negara.

“Sudah tentunya kejohanan pada 2022 akan mengenakan arahan keselamatan BWF. Bagaimanapun BWF berharap perubahan secara beransur-ansur dalam melaksanakan kejohanan dengan pengurangan sekatan Covid-19, pada ketika secara perlahan-lahan kembali kepada keadaan normal dengan pengurangan sekatan dalam penganjuran acara antarabangsa,” katanya. - Bernama