X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Bajet yang diharap jadi pengubat duka...

A
A

BAJET 2022 diibaratkan sebagai ‘bajet idaman’ rakyat Malaysia ketika semua pihak meramalkan negara memasuki fasa endemik hujung Oktober ini.

Sudah pastinya rakyat khasnya golongan marhaen tidak sabar dan sangat teruja menantikan pengumuman yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

Bahkan baru-baru ini, Tengku Zafrul ada menyatakan bajet kali ini akan menumpukan kepada 3R iaitu mempercepat pemulihan, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memangkinkan pembaharuan.

Berdasarkan sesi libat urus merentasi banyak sektor, beliau berkata, kerajaan akan terus merancang inisiatif bajet kepada Matlamat Pembangunan Lestari.

“Bantuan kewangan akan diteruskan kepada mereka yang paling terjejas terutamanya kumpulan B40, penganggur dan golongan rentan,” katanya.

Sejak dua tahun lalu, penularan Covid-19 membuatkan rakyat dihimpit masalah kewangan hingga tergolong dalam miskin tegar menunjukkan peningkatan yang ketara.

Status hidup rakyat akibat Covid-19 menyebabkan hampir 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini beralih pendapatan di bawah kumpulan B40.

Perangkaan sehingga 15 Oktober 2021 menunjukkan sebanyak 742,469 Ketua Isi Rumah (KIR) mempunyai pendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan telah berdaftar dalam sistem eKasih merangkumi 262,888 KIR berstatus miskin tegar dan 243,840 KIR berstatus miskin.

Pada tahun 2020, bilangan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 telah bertambah sebanyak 12.5 peratus, menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya, sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 telah beralih kepada kumpulan B40.

Malah, isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 turut terkesan akibat Covid-19 yang mana sebanyak 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan ini telah beralih kepada kumpulan M40.

Pakar ekonomi ada mencadangkan Bajet 2022 dibentangkan kali ini dapat memberi penekanan terhadap perbelanjaan rakyat membabitkan bantuan tunai dan perlindungan sosial.

Pakar Percukaian, Dr Veerinderjeet Singh berkata, pelepasan cukai istimewa itu dicadang diberikan antara RM2,000 ke RM3,000 untuk tempoh setahun atau dua tahun.

“Dalam keadaan sekarang pelepasan cukai istimewa mungkin boleh diberikan kepada golongan M40 ini tetapi ia hanya untuk golongan yang terjejas seperti yang mengalami pengurangan pendapatan,” katanya.

Kerajaan juga boleh berikan bantuan kepada golongan M40 untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Misalnya bagi M40 yang hilang kerja, kerajaan boleh berikan kursus, latihan semula dan platform cari kerja agar mereka dapat pekerjaan baharu.

Janji Ismail Sabri

Belanjawan 2022 akan memberikan fokus kepada rakyat berikutan masih ramai yang terkesan akibat Covid-19, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, Bajet 2022 mempunyai faktor ‘Wow’ kerana ia dirangka untuk memberi manfaat semua pihak sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang menjamin tiada seorang pun tercicir daripada agenda pemulihan negara setelah mengalami kesukaran hidup akibat pandemik Covid-19.

Ismail Sabri juga berkata, Bajet 2022 adalah ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ dan berimpak tinggi merangkumi bantuan kepada golongan B40 dan M40 serta sokongan perniagaan bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semua perniagaan.

“Dalam bajet kali ini, kita masih beri bantuan secara langsung kepada rakyat,” katanya dalam Sesi Wawancara Bajet 2022 bersama Perdana Menteri dengan media tempatan pada Rabu.

Diharapkan Bajet 2022 ini akan dapat membawa keluar rakyat Malaysia daripada kemelut, melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian pasca pandemik malah dapat memenuhi kehendak segenap pihak.

* Nurhazlin Lydia M Nazri ialah Pencipta Kandungan Media Sosial Sinar Harian


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!