X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

UMNO sedia bekerjasama dengan Pas selagi guna lambang sendiri

Ahmad Maslan ketika mengadakan sidang akhbar selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR - Teki-teki sama ada UMNO akan bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bergantung kepada pendirian Pas sendiri.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu memperkukuh Muafakat Nasional (MN) dalam PRN Melaka.

“Asas persefahaman dengan Pas berpandukan kepada prinsip bahawa Pas menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam Mesyuarat pada 19 Oktober hingga 18 November 2020.

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri selain mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, keputusan tersebut juga sememangnya ditunggu-tunggu oleh parti-parti lain termasuk Pas.

Ditanya sama ada pendirian UMNO kekal bekerjasama dengan Pas jika Pas bertanding atas nama Perikatan Nasional (PN), Ahmad Maslan berkata, ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan UMNO.

“Itu akan dijelaskan pada kenyataan bahawa MKT juga memberikan mandat kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN Melaka," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!