BN akan bayar kompaun yang dikenakan KKM: Zambry

 Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 di bawah Akta 342 kepada Barisan Nasional (BN).
Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 di bawah Akta 342 kepada Barisan Nasional (BN).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan membayar kompaun RM10,000 yang dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan berkata, BN adalah parti yang patuh kepada undang-undang dan menghormati arahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya.

“Bagaimanapun pada hemat BN arahan tersebut berkaitan dengan perhimpunan di negeri Melaka. Maka majlis pelancaran jentera BN yang sepatutnya diadakan di Melaka telah dipindahkan ke World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu (27 Oktober),” katanya.

Menurut Zambry, pemilihan lokasi WTCKL dibuat memandangkan Kuala Lumpur sudah pun memasuki Fasa Empat PPN yang membolehkan perhimpunan diadakan dengan kapasiti kehadiran 50 peratus daripada keluasan dewan acara.

“Untuk makluman kehadiran jemputan dalam majlis pelancaran di Dewan Tun Hussein dan Tun Ismail WTCKL semalam (Rabu) telah mengambil kira panduan SOP berkenaan dengan kapasiti,” katanya.

Beliau berkata, namun pergerakan di luar dewan yang ramai adalah di luar bidang kawalan pihak penganjur.

Pejabat Kesihatan Kepong pada Khamis mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada BN kerana melanggar SOP Fasa Empat PPN.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi perkongsian dalam platform media sosialnya memaklumkan, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dikeluarkan kepada BN susulan penganjuran majlis sosial di WTCKL para Rabu malam.

Artikel Berkaitan:

Notis itu juga memaklumkan kompaun RM10,000 akan tamat tempoh pada 9 November ini.

Bermula 25 Oktober, KKM menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk pelancaran jentera.

Larangan itu dikeluarkan kerana majlis perhimpunan berisiko menyebabkan peningkatan jangkitan Covid-19.

Zambry
Zambry