X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Mahkamah arah anak angkat Siti Bainun diserah kepada JKM

Majistret Norfarahain Roslan juga menolak permohonan Siti Bainun, 29, selaku pemohon untuk membatalkan perintah jagaan JKM terhadap kanak-kanak tersebut. - Foto fail Awani
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini memerintahkan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia tiga tahun yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Norfarahain Roslan juga menolak permohonan Siti Bainun, 29, selaku pemohon untuk membatalkan perintah jagaan JKM terhadap kanak-kanak tersebut.

Peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun ketika ditemui berkata, mahkamah membuat keputusan itu berdasarkan keterangan Konsulat Indonesia, bahawa mana-mana ibu angkat yang ingin menjaga atau mengambil anak angkat warga negara itu perlu berusia 30 tahun ke atas dan telah berkahwin selama lima tahun.

Sehubungan itu kanak-kanak perempuan tersebut akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras selama tiga tahun.

Bagaimanapun menurut peguam itu, pihaknya akan membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi berhubung dengan keputusan Mahkamah Majistret hari ini.

Sementara itu, bagi empat lagi kanak-kanak yang terlibat dalam permohonan sama, mahkamah menetapkan 2 dan 16 November ini untuk pendengaran seterusnya sebelum hak penjagaan diputuskan.

Siti Bainun dan empat lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan hak penjagaan tersebut melalui Tetuan Chambers of Aminatul Mardiah pada 2 Ogos lalu di Mahkamah Kanak-Kanak di sini dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan tersebut juga bagi pembatalan perintah interim yang diberikan kepada JKM yang didakwa tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah semasa perintah interim diberikan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh sebelum ini, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua buah rumah kebajikan.

Selain itu, permohonan itu turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mana mereka mahu jagaan diberikan kepada pihak pemohon. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!