Lelaki menyamar polis, samun berkumpulan diberkas

Mohamad Farouk Eshak
Mohamad Farouk Eshak
A
A
A

AMPANG - Seorang penganggur ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes samun dan menyamar polis di sebuah rumah di Pandan Indah di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya berjaya memberkas seorang suspek berusia 54 tahun pada jam 5 petang, Rabu.

"Kami turut merampas dua telefon bimbit dipercayai milik rakan mangsa," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk berkata, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai empat rekod jenayah iaitu kes pemerasan dan mendatangkan kecederaan serta satu kes narkotik.

"Hasil saringan air kencing, suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, suspek telah direman selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad bagi membantu siasatan.

"Kami juga sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas yang telah dikenal pasti," katanya.

Mohamad Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 2.30 petang Selasa, mangsa seorang pelajar perempuan berusia 27 tahun sedang berehat di sebuah rumah.

Artikel Berkaitan:

"Dua lelaki yang tidak dikenali berpakaian preman telah datang serta memperkenalkan diri sebagai pegawai polis tanpa apa-apa pengenalan diri.

"Mangsa berasa takut apabila suspek memarahi dan menengkingnya. Suspek juga menyatakan mangsa mempunyai rekod dikehendaki dan perlu dibawa ke balai," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak mengambil dompet berisi dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit mangsa dan rakannya.

"Suspek keluar dari rumah dan menyatakan mahu memanggil polis peronda dan terus bertindak melarikan diri. Mangsa dan rakannya mengalami kerugian RM3,020," katanya.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Mohamad Farouk turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap orang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

"Pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai polis perlu menunjukkan kad kuasa dan menjelaskan tujuan pemeriksaan dijalankan.

"Sekiranya orang awam berasa curiga, mereka boleh menghubungi balai polis yang terdekat untuk mengesahan," katanya.