X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Arak Timah: "Adakah kita kena tukar nama coklat Daim?" - Syed Saddiq

Syed Saddiq
A
A

KUALA LUMPUR - Isu jenama produk yang mudah disalah tafsir perlu diperjelaskan agar tidak timbul salah faham sepertimana yang berlaku terhadap penggunaan jenama 'Timah' pada produk arak keluaran tempatan.

Pun begitu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) menimbulkan persoalan apakah beberapa jenama produk lain yang berada di pasaran negara juga perlu ditukar sekiranya berlaku lagi salah faham.

"Saya faham pendirian kerajaan dalam hal ini dan rundingan sedang dijalankan dan isu ini mungkin disalah tafsir. Persoalan saya, jika nama senang untuk disalah tafsir, saya lihat di sosial media ramai juga yang troll, adakah kita akan tukar nama coklat Daim kerana nama berkait rapat dengan Tun Daim (Zainuddin).

"... ataupun minuman Dutch Lady yang boleh dikaitkan dengan nama wanita seperti orang kata Timah, dan banyak contoh lain. Rakan saya di negara luar kongsikan kerana berita ini sudah viral sampai ke luar negara. Ada juga minuman yang berkait rapat dengan nama seseorang presiden parti Islam, adakah itu juga akan ditukar?

"Jadi, saya berharap apa pun pendrian kerajaan, perkara seperti ini harus diperjelas supaya kes-kes lain tidak timbul kerana salah faham," katanya ketika mencelah pada sesi Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menjawab perkara itu, Rosol berkata, pandangan yang dibangkitkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu wajar diperhalusi secara menyeluruh.

Beliau dalam masa yang sama bersetuju dengan pendapat Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) bahawa penggunaan jenama 'Timah' pada minuman arak sengaja digembar-gemburkan untuk kepentingan politik.

Sementara itu, Rosol turut memaklumkan bahawa kementerian telah mengadakan pertemuan dengan pengeluar arak jenama 'Timah', Winepark Corporation (M) Sdn Bhd bagi membincangkan perkara tersebut.

Jelasnya, syarikat pengeluar itu memberi komitmen untuk mengkaji nama pada produk keluaran syarikat itu dan memahami keresahan dalam kalangan umat Islam. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!