Azam Baki dilantik Ahli Lembaga Gabenor IACA

Azam Baki - Foto fail Bernama
Azam Baki - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor (BoG) Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) bagi tahun 2021-2024.

Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, pelantikan itu dibuat pada mesyuarat tahunan IACA ke-10 yang diadakan di Vienna, Austria pada Rabu.

Kenyataan itu menyebut, pelantikan Azam diumumkan pada sesi pemilihan yang dihadiri Ketua Pengarah GIACC, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan yang mewakili Malaysia pada mesyuarat tersebut.

Mohd Sallehhuddin yang menyampaikan ucapan pada Sesi Memuktamadkan Pemilihan Calon-calon BoG IACA di Vienna berkata, kerajaan amat komited dan menyokong IACA dalam program akademiknya.

Malaysia adalah antara negara pertama menandatangani Perjanjian Penubuhan IACA sebagai organisasi antarabangsa dan telah meratifikasinya sebagai sebuah pertubuhan antarabangsa pada November 2011.

“Saya percaya dan yakin dengan pemilihan ini, Azam akan dapat berkongsi ilmu serta pengalaman beliau dalam bidang pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang antirasuah,” kata Mohd Sallehhuddin.

Menurut beliau, dengan pengalaman yang luas, Azam mampu membimbing dan berkongsi amalan terbaik bersama penguat kuasa dan pengamal undang-undang dalam menghadapi cabaran masa depan.

BoG merupakan antara entiti terpenting IACA yang berperanan memastikan keberkesanan dasar dan strategi yang relevan bagi pelaksanaan inisiatif dan pembangunan kapasiti dalam bidang governans dan antirasuah.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor IACA pada 2012 bagi penggal selama enam tahun. - Bernama