Sektor halal, pelancongan, pertanian penting untuk pemulihan pasca-Covid-19

Prayuth Chan o-cha
Prayuth Chan o-cha
A
A
A

BANGKOK - Untuk mencapai pemulihan pasca-Covid-19 dan memajukan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), negara anggota perlu memberi lebih penekanan terhadap transformasi tiga industri utama - pelancongan, pertanian dan halal.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha berkata, dalam sektor pelancongan, IMT-GT mungkin telah berjaya membina kemajuan dengan mengubah subrantau itu menjadi destinasi pelancongan utama.

Oleh itu, beliau mencadangkan supaya pendekatan itu terus dimajukan, termasuk kerjasama geopark IMT-GT serta rangkaian infrastruktur fizikal pelbagai mod yang telah dibina sepanjang lima tahun lepas yang boleh digunakan untuk menyokong usaha ini.

“Dalam pertanian, kita perlu menaik taraf projek terdahulu yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti pertanian.

“IMT-GT mungkin boleh lebih menumpukan usaha ke arah komoditi pertanian dan pemprosesan tani bernilai tinggi yang sepadan dengan kekuatan kami dan permintaan pasaran, seperti getah dan produk getah,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak IMT-GT ke-13 menerusi sidang video.

Sidang kemuncak maya itu turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku pengerusi IMT-GT dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Untuk industri halal, Prayuth berkata adalah penting IMT-GT mengukuhkan pensijilan halal untuk diterima ke dalam pasaran halal global.

“Terdapat keperluan untuk IMT-GT meningkatkan daya saing dalam industri halal, contohnya, memperkasakan PKS halal dan mewujudkan persekitaran yang kondusif yang membolehkan mereka berkembang maju,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk memudahkan pengukuhan ketiga-tiga industri ini, Prayuth menggalakkan semua pemegang taruh untuk mempercepat pelaksanaan projek sedia ada dan memasukkan projek baharu ke dalam senarai Projek Ketersambungan Fizikal (PCP) untuk memastikan ketersambungan fizikal yang lancar.

Beliau berharap pihak berkepentingan yang terlibat dapat memuktamadkan Kerangka Kerjasama (FoC) dalam Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) supaya dokumen mengenainya dapat dimeterai awal tahun depan.

“Penandatanganan dokumen ini akan membantu memudahkan pergerakan rentas sempadan barangan dan rakyat di tiga negara dan dapat memperluas perdagangan dan pelaburan di subrantau itu,” katanya.

Prayuth juga menyuarakan harapannya ketiga-tiga negara ini akan dapat berkongsi maklumat serta amalan terbaik untuk mengukuhkan projek dan membangunkan piawaian secara bersama untuk "kebiasaan baharu" pelancongan pasca-Covid-19, yang mengutamakan pematuhan kepada garis panduan keselamatan dan kesihatan. - Bernama