X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Saksi nampak Perodua Axia dihimpit Toyota Innova

Paparan skrin video yang tular di media sosial berhubung kemalangan membabitkan Syed Muhammad Danial di Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur kira-kira dua tahun lalu.
A
A

SHAH ALAM - Saksi pendakwaan keenam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa dia menyaksikan sebuah kereta jenis Perodua Axia dihimpit sebuah Toyota Innova di Tol Sungai Besi dalam kejadian dua tahun lalu.

Bahanizam Hasan, 54, berkata demikian ketika perbicaraan kes bunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang berlaku di Kilometer 293.6 Lebuhraya Utara-Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, 10 Ogos 2019.

Bahanizam yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dia melihat kejadian awal itu semasa dalam perjalanan ke Tanjung Tuan, Port Dickson untuk bercuti bersama isteri dan tiga anaknya.

“Ketika saya sedang memandu kereta di lorong kiri, saya melihat kereta Perodua Axia dari lorong paling kanan memasuki lorong tengah secara tiba-tiba kerana ada sebuah kereta Honda Accord dari arah belakang Perodua Axia meluncur laju.

Polis membawa Wei Liang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis bagi menghadapi perbicaraan kes bunuh Syed Muhammad Danial.
Polis membawa Wei Liang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis bagi menghadapi perbicaraan kes bunuh Syed Muhammad Danial.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki langgar Syed Muhammad Danial didakwa membunuh

“Ia mungkin menyebabkan kereta pemandu dalam Toyota Innova di lorong tengah terkejut lalu membunyikan hon. Ketika itulah saya mendapati Toyota Innova mula menghimpit Perodua Axia,” katanya.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin, Bahanizam berkata, memandangkan dua kenderaan itu semakin jauh meninggalkannya, dia tidak lagi mengambil perhatian berhubung insiden terdahulu.

Katanya, sehinggalah berhampiran simpang Bukit Mahkota, dia mendapati ada kesesakan lalu lintas kerana kemalangan.

Aidatul Azura: Bagaimana encik tahu kemalangan itu membabitkan Toyota Innova dan Perodua Axia?

Bahanizam: Ia adalah kereta yang sama, saya jumpa di Tol Sungai Besi sebelum itu.

Aidatul Azura: Setelah itu apa encik buat?

Bahanizam: Saya berhentikan kereta di lorong paling kiri.

Aidatul Azura: Encik nampak siapa yang ada di lokasi kemalangan?

Bahanizam: Ada dua lelaki tetapi saya tak pasti siapa dan tidak kenal mereka. Saya nampak seorang lelaki yang menaiki kereta Toyota Innova pegang seorang lagi lelaki di pembahagi jalan.

Aidatul Azura: Bagaimana encik tahu?

Bahanizam: Saya maksudkan kereta Toyota Innova, dia mengaku itu keretanya.

Susulan itu, Bahanizam mengambil keputusan untuk membuat laporan polis selepas video kemalangan itu tular di WhatsApp dan YouTube yang mana dia turut dirakam berada di lokasi kemalangan.

Bukan itu sahaja, dia turut dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk kawad cam.

Pada 22 Ogos 2019, Yew Wei Liang yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) didakwa membunuh Syed Muhammad Danial yang dikatakan berlaku di Kilometer 293.6 Lebuhraya Utara - Selatan antara jam 1 tengah hari dan 2 petang, pada 10 Ogos 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Wee Choo Keong akan membuat pemeriksaan balas terhadap saksi berkenaan di hadapan Hakim Julia Ibrahim pada Jumaat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!