X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Agrobank, MAFI peruntuk RM110 juta

Ronald (dua dari kanan) menyerahkan replika cek Dana Agromakanan Keluarga Malaysia kepada Mustapha (empat dari kanan) sambil disaksikan oleh Khadijah (kiri), Nik Muhammad Zawawi (dua dari kiri), Ahmad (empat dari kiri) dan Haslina (kanan) di Ibu Pejabat Agrobank, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Agrobank menerusi kerjasama strategiknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan sebanyak RM110 juta bagi kempen pembiayaannya yang dinamakan ‘Dana Agromakanan Keluarga Malaysia’.

Ia sempena dengan konsep Keluarga Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Oktober lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelancaran kempen itu tepat pada masanya kerana ia selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang bertujuan memacu pembangunan dan modenisasi industri agromakanan bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Dana Agromakanan Keluarga Malaysia akan disalurkan melalui dua program pembiayaan Agrobank Agromakanan (Penjana) iaitu sebuah program pembiayaan usahawan khusus untuk perusahaan mikro dan kumpulan B40 dengan peruntukan dana sebanyak RM50 juta.

"Ia menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000 dan kadar keuntungan serendah 3.5 peratus setahun.

“Menerusi program Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA), pembiayaan khusus kepada usahawan tani dalam industri makanan untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan import dengan peruntukan dana sebanyak RM60 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ronald berkata, DPA menawarkan pembiayaan sehingga RM10 juta dengan kadar keuntungan serendah 3.5 peratus setahun bagi pembiayaan RM10,000 hingga RM5 juta dan 4.75 peratus setahun bagi pembiayaan RM5 juta hingga RM10 juta.

“Sepanjang tempoh kempen, Agrobank akan menawarkan pengecualian fi jaminan untuk kedua-dua dana Agromakanan (Penjana) dan DPA. Kempen ini adalah sah sehingga keseluruhan dana berjumlah RM110 juta tersebut digunakan sepenuhnya atau sehingga 31 Disember 2021.

“Menerusi kempen ini, Agrobank menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro di Malaysia bagi memastikan kemampanan sektor pertanian dan industri makanan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi,” jelas Ronald.

Sementara itu, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, Agrobank mempunyai aspirasi lebih besar iaitu untuk mewujudkan akses kepada pembiayaan lebih besar melangkaui sektor pertanian di Malaysia, sekali gus memaksimumkan potensinya.

“Sebagai salah satu pemboleh ekonomi utama untuk membawa rangkuman ekonomi yang lebih besar, kami mereka bentuk dan merapatkan keperluan unik masyarakat melalui inovasi produk kami serta memacu industri menjadi lebih signifikan dalam menyokong DAN 2.0.”

“Kewujudan Agrobank di seluruh negara mencerminkan dedikasi berterusan kami dalam memastikan akses perkhidmatan kewangan yang menyeluruh mampu dinikmati oleh komuniti yang kurang mendapat perhatian. Pada masa sama menyediakan penyelesaian kewangan yang komprehensif, merentasi rantaian nilai pertanian bagi menyokong agenda keselamatan makanan negara.

"Oleh itu, kami percaya dana daripada program ini akan dapat membantu PKS dan usahawan mikro dalam menguruskan perniagaan mereka,” ujar beliau.

Pada Khamis, Ronald menyerahkan replika cek Dana Agromakanan Keluarga Malaysia kepada Mustapha sambil disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh di Ibu Pejabat Agrobank, Kuala Lumpur.

Turut serta, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid serta Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!