Polis lupus barang rampasan bernilai RM450,000

Pelbagai barangan rampasan bernilai hampir RM450,000 dilupuskan Polis Manjung di pekarangan hadapan stor barangan kes Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini pada Khamis.
Pelbagai barangan rampasan bernilai hampir RM450,000 dilupuskan Polis Manjung di pekarangan hadapan stor barangan kes Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini pada Khamis.
A
A
A

MANJUNG - Rokok dan set karaoke antara barang rampasan yang dilupuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Manjung membabitkan nilai keseluruhan RM450,000 yang diperoleh sejak tahun 2005.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesemua barang rampasan itu melibatkan kes perjudian, serbuan di pusat hiburan, perlombongan mata wang digital bitcoin dan jenayah kekerasan di sekitar Manjung sehingga tahun ini.

Menurutnya, tindakan melupuskan barangan tersebut dibuat selepas kertas siasatan selesai dibicarakan dan diputuskan hukuman oleh mahkamah.

"Semua barangan kes yang dilupuskan itu membabitkan 160 kertas siasatan yang dibuka sepanjang tempoh itu.

“Daripada jumlah itu, 134 kes melibatkan perjudian, masing-masing lapan kes bagi kes bitcoin serta rokok dan arak, manakala 10 kes lagi ialah barang am dan pusat hiburan,” katanya kepada pemberita sidang akhbar di pekarangan stor barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada Khamis.

Nor Omar berkata, barangan lain yang dilupuskan termasuklah 478 unit mesin melombong bitcoin, 402 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 54 unit komputer riba, alat kelui dan pencetak mudah alih.

Menurutnya, selain itu, turut dilupuskan ialah slip catatan dan cetakan angka loteri haram, meja, kerusi, papan bergambar, mangkuk serta dadu.

“Sebanyak 411 kotak dan 184 karton pelbagai jenis rokok, 942 tin dan 387 botol minuman keras pelbagai jenama serta senjata tajam, set karaoke, projektor, monitor, pembesar suara, meja dan sofa turut dilupuskan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua barang kes tersebut dilupuskan melalui kaedah menggunakan excavator dan ia dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, indeks jenayah di daerah Manjung melibatkan jenayah harta benda termasuk curi kenderaan dan jenayah kekerasan turut menunjukkan penurunan sebanyak 31 peratus pada tahun 2021 berbanding tahun lalu.

Katanya, penurunan itu dipercayai disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengawal pergerakan orang ramai.

Sementara itu, Nor Omar meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis selain pihaknya mempertingkatkan usaha menjalankan pelbagai operasi.

Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan memandang serius sebarang kegiatan jenayah di daerah ini.