Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang tidak perlu kelulusan MTP, MyEntry

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

SHAH ALAM - Warga asing yang memegang Pas Lawatan Jangka Panjang yang masih sah laku tidak perlu memohon kelulusan MyEntryPass (MTP) atau MyEntry untuk memasuki negara bermula 1 November.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimi Daud berkata, keputusan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Bilangan 60, 2021 (Siri 22) yang telah diadakan pada 22 Oktober lalu.

Menurutnya, antara kategori Pas Lawatan Jangka Panjang yang dibenarkan adalah Pas Diplomat (Exemption Order), Pas Penggajian kategori I, II, dan III, serta Resident Pass-Talent (RP-T) termasuk pasangan dan pembantu rumah masing-masing.

"Turut dibenarkan Pas Lawatan Ikhtisas (pakar), Lawatan Ikhtisas, Pemastautin Tetap (PR) bersama pasangan dan anak, Pas Jangka Panjang suami atau isteri kepada warganegara, dan Pas Warga Emas.

"Pas Balu (janda kepada warganegara), Pas Pelajar (bersama tanggungan dan pengiring), Pas Malaysia My Second Home (MM2H),Pas Residen, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), dan Pembantu Rumah Asing (PRA)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Khairul Dzaimee berkata, warga asing selain daripada kategori yang dinyatakan masih perlu memohon kelulusan Imigresen menerusi sistem MTP atau MyEntry untuk memasuki Malaysia.

"Warga asing kategori lawatan sosial, pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang tamat tempoh, dan 'short term business traveller' masih perlu memohon kebenaran dari Imigresen," katanya.

Tambahnya, pemohon Pas Pengajian (kategori I, II, III), RPT, PRA dan Pas Lawatan Ikhtisas (Pakar) yang baru diluluskan masih perlu memohon kelulusan menerusi sistem MTP.

Artikel Berkaitan:

"Prosedur kemasukan semasa ketibaan di Malaysia masih tertakluk kepada peraturan Jabatan Imigresen sedia ada yang masih berkuat kuasa serta prosedur saringan kesihatan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," jelasnya.