Selangor harap beberapa insentif menerusi Bajet 2022

Amirudin
Amirudin
A
A
A

KLANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berharap Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat dapat memperkukuh dan mengembangkan industri aeroangkasa di negeri tersebut.

Amirudin juga berharap permohonan projek tebatan banjir berjumlah RM1.3 bilion dapat dilaksanakan sepenuhnya atau secara berperingkat.

Selain itu menurutnya, penumpuan juga perlu diberikan kepada pelabuhan ketiga di Pulau Carey atau tempat-tempat lain yang bermanfaat kepada ekonomi Selangor.

"Ia sebagai platform mempertahankan pelabuhan di Selangor dan Malaysia sebagai yang terpenting di Asia Tenggara," katanya selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Inisiatif Selangor Freelance di Hotel Wyndham Acmar pada Khamis.

Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berharap, kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat-syarat menaik taraf jalan seperti peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris).

"Sebelum ini, kebenaran diberikan sehingga 10 peratus atau RM15 juta, jadi tidak banyak yang dapat dinaik taraf.

"Naik taraf tersebut hanya untuk yang sedia ada dan terhad dengan jumlah tersebut, namun terdapat beberapa jalan yang memerlukan perubahan tertentu.

"Sekiranya dilonggarkan dapat menyelesaikan isu-isu jalan berlubang yang memerlukan peningkatan kualiti pembaikannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memohon supaya peruntukan bagi sektor pelancongan yang memerlukan suntikan daripada kerajaan Persekutuan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Selangor.