Polis tahan tiga lelaki edar dadah, ketum

Muhammad Idzam menunjukkan daun ketum yang dirampas.
Muhammad Idzam menunjukkan daun ketum yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menahan tiga lelaki disyaki pengedar dadah dan ketum di Taman Connaught di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya turut merampas 500 biji pil erimin 5 dan empat bungkusan mengandungi helaian daun ketum yang dianggarkan bernilai RM7,500.

"Kita menahan sebuah kereta jenis Nissan Almera dalam keadaan mencurigakan pada jam 2.20 petang," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini pada Khamis.

Muhammad Idzam berkata, hasil pemeriksaaan, pihaknya menjumpai satu bungkusan berisi 500 pil erimin 5 di bawah pelapik kaki di bahagian pemandu.

"Pemeriksaan selanjutnya di bahagian tempat duduk penumpang belakang menjumpai satu beg galas mengandungi empat bungkusan helaian daun ketum seberat 1,033 gram," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 19 hingga 37 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953 dan Seksyen 30 Akta Racun 1952.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kegiatan jenayah boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-92050222 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan: