'Terlalu awal buat kesimpulan'

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

KLANG - Kerajaan negeri Selangor perlu menyemak dahulu data yang mengatakan terdapat 1,298 lokasi di negeri ini mempunyai tanda dijadikan tapak pembuangan sisa sampah haram seperti didedahkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terlalu awal untuk membuat kesimpulan berkenaan laporan tersebut sehingga maklumat terperinci mengenainya diperoleh.

"Terlalu awal untuk membuat kesimpulan berkenaan perkara itu dan kita perlu lihat dahulu data tersebut kemudian selesaikan masalah berkenaan.

"MYSA tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri berkenaan perkara tersebut dan kenyataan yang dikeluarkan itu mungkin adalah data pelupusan sampah haram atau kawasan pembuangan sampah tidak terkawal," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Inisiatif Selangor Freelance di Hotel Wyndham Acmar pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengatakan teknologi satelit dan dron mengesan sebanyak 4,884 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara termasuk 1,298 di Selangor.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri melaksanakan beberapa projek untuk mengatasi bebanan tapak pelupusan sampah di Selangor.

"Ia termasuk projek sisa kepada tenaga (WTE), selain projek Jeram 1, 2 hingga 12. Itu adalah perancangan jangka masa panjang untuk mengurangkan bebanan kepada tapak pelupusan sampah.

"Selain dapat mengurangkan bebanan, kita juga dapat menguruskan sisa domestik dan pepejal dengan lebih berkesan dan efisien, Insya-ALLAH, Selangor akan mempunyai WTE menjelang tahun 2023," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kerajaan negeri yakin dengan keupayaan dan kemampuan Worldwide Holdings Berhad (WHB) yang menguruskan tapak pelupusan sisa pepejal di Selangor yang turut memberikan perkhidmatan sama di negeri lain.