Penganggur didakwa menyamar guna gelaran Datuk Seri

Mohd Feroz (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Khamis.
Mohd Feroz (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan mengaku dirinya mempunyai gelaran Datuk Seri pada Jun 2020 dan Januari tahun ini.

Tertuduh, Mohd Feroz Musa, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Mohd Feroz didakwa telah mengaku dirinya sebagai pemegang sah Anugerah Datuk Seri Panglima di sebuah premis di Larkin Perdana kira-kira jam 3.12 petang pada 23 Jun 2020.

Pada pertuduhan kedua, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah premis di Jalan Padi Ria 2, Bandar Baru Uda pada jam 3.20 petang, 8 Januari 2021.

Mohd Feroz dituduh mengikut Fasal 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang boleh dihukum mengikut Fasal 4(2) Enakmen sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan selain menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqila Ahmad Fuad.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, Mohd Feroz turut berdepan satu lagi tuduhan iaitu menggunakan gelaran Datuk Seri untuk memperdaya seorang mangsa antara 24 Disember 2020 hingga 5 Januari tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohd Feroz tetap mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zuhainie Zullkafly.

Mengikut pertuduhan, Mohd Feroz didakwa telah menipu seorang wanita berusia 45 tahun dengan menyatakan dirinya mempunyai gelaran Datuk Seri dan mempunyai dana-dana di luar negara.

Tertuduh didakwa menggunakan pembohongan itu sehingga mangsa wanita berkenaan menyerahkan sejumlah wang bernilai RM11,600 yang dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 selain menetapkan 14 November depan sebagai sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq.