X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

ASEAN, India digesa percepat semakan semula perjanjian perdagangan

Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN dan India perlu mempercepat semakan semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India supaya ia lebih mesra pengguna dan mempermudah perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini penting bagi membolehkan ASEAN dan India memanfaatkan sepenuhnya potensi hubungan ekonomi ke arah pemulihan, daya tahan dan integrasi serantau.

Bercakap pada Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-18 yang diadakan secara maya pada Khamis, Ismail Sabri berkata, India kekal sebagai rakan dagang utama ASEAN.

Malangnya, pandemik telah menyebabkan dagangan dua hala merosot sebanyak 14.9 peratus pada tahun lepas.

“Malaysia gembira dengan kemajuan hubungan ASEAN-India sejak 1992. Malangnya, wabak Covid-19 merencatkan banyak kemajuan yang dicapai.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meningkatkan kerjasama bagi mengurangkan kesan pandemik dan bergerak ke arah pemulihan pasca pandemik,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerjasama dalam transformasi digital dan ekonomi digital turut mempunyai peranan sama penting kerana ia kini menjadi norma baharu dalam menjalankan perniagaan.

“Keutamaan harus diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di rantau ini. ASEAN dan India juga harus meningkatkan kesalinghubungan untuk memastikan rantaian bekalan kekal tidak terbatas,” katanya.

Perdana menteri menyatakan bahawa industri farmaseutikal India telah memainkan peranan luar biasa dalam mengedarkan ubat generik berkualiti tinggi dan kos efektif di seluruh dunia, termasuk sejak pandemik melanda.

Justeru, beliau menggesa ASEAN dan India untuk meneroka kerjasama strategik dalam bidang seperti penyelidikan dan pembangunan diagnostik serta rawatan Covid-19, pembuatan dan pengedaran vaksin serta keselamatan vaksin dan ketidakbergantungan.

"Ini akan menyumbang kepada usaha serantau untuk mengatasi pandemik semasa dan bersedia untuk kecemasan kesihatan masa depan," katanya.

Beliau menambah, Malaysia menyambut baik kerjasama ASEAN dan India dalam melaksanakan inisiatif bersama di bawah ASEAN Outlook mengenai Indo-Pasifik dan Inisiatif Lautan Indo-Pasifik melalui mekanisme diterajui ASEAN.

Perdana Menteri India, Narendra Modi turut menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-18.

Sidang Kemuncak ASEAN-India diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-38 dan Ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari, bermula Selasa, dipengerusikan Brunei. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!