18 tahun sudah cukup matang

Nurul Ashikin
Nurul Ashikin
A
A
A

SHAH ALAM - Remaja berusia 18 tahun sudah cukup dewasa serta matang menentukan arah tuju politik dan terlibat secara serius dalam kancah dunia politik negara.

Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, usia 18 merupakan detik awal bagi semua remaja menuju fasa baharu dalam kehidupan dan pelbagai kebenaran serta kebebasan diberikan buat individu apabila mencecah umur tersebut.

Beliau berkata, bukan sahaja boleh memiliki aset peribadi, memiliki lesen kereta dan menerima duit insurans yang diamanahkan sebelum ini, malah menjejak usia 18 tahun sudah dibenarkan untuk berkahwin.

"Rata-rata kerajaan di seluruh dunia sudah mengiktiraf anak muda berusia 18 tahun dengan satu tanggungjawab besar.

"Malah pada usia ini juga mereka tidak lagi dikategorikan sebagai pesalah juvana dan menerima hukuman seperti mana golongan dewasa yang lain.

"Setelah diberi kepercayaan kepada semua perkara, kenapa tidak diberi kepercayaan untuk mereka memilih golongan pemimpin yang mereka inginkan," katanya.

Mengulas lanjut, Nurul Ashikin berkata, Pejuang sememangnya meraikan golongan Undi 18 untuk berkecimpung dalam dunia politik bagi mengenal dunia baharu itu lebih awal.

Beliau secara peribadi juga yakin anak muda negara pada masa ini boleh memacu negara dengan idea-idea bernas dan mengubah landskap politik ke arah yang jauh lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Apabila masuknya golongan Undi 18 ini, maka ia akan mengubah landskap politik negara secara total.

"Penglibatan mereka akan menjadi check and balance (timbang tara) kepada dunia politik negara dan barisan kepimpinan pada kerajaan ketika itu," katanya.

Selain itu, katanya, bagi tempoh masa panjang, barisan kepimpinan yang bakal diterajui oleh anak muda kemungkinan besar akan bersih kerana tidak pernah terlibat dengan dunia politik sebelum ini dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Katanya, selari dengan perjuangan utama Pejuang, pemimpin daripada golongan anak muda diharap mampu menjadikan negara bebas daripada rasuah dan memiliki pemimpin berintegriti.