Bubar BN: Tiada konsensus dicapai

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang hari ini tidak mencapai konsensus terhadap hasrat MCA untuk membubarkan BN.
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang hari ini tidak mencapai konsensus terhadap hasrat MCA untuk membubarkan BN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah pelbagai khabar angin yang menggoyahkan blok BN tersebar sebelum ini, akhirnya Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang hari ini tidak mencapai konsensus terhadap hasrat MCA membubarkan barisan itu.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam mesyuarat hari ini, MCA membentang resolusi parti mereka untuk membubarkan BN, namun UMNO dan MIC tidak bersetuju, maka tiada konsensus dicapai berhubung cadangan itu.

“MCA telah bentangkan resolusi parti mereka seperti yang disepakati bersama dalam Mesyuarat Agung MCA ke-65 pada Disember lalu untuk membubarkan BN, tapi dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini UMNO dan MIC tak setuju kerana berasakan tiada keperluan untuk barisan yang tertubuh 44 tahun ini dibubarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul bubar BN: MCA sedia mesyuarat bila-bila masa

“Untuk melakukan sesuatu perubahan dalam BN mesti ada konsensus. MCA kena bentang semula resolusi ini kepada ahli mereka,” katanya ketika sidang media di Menara Datuk Onn, hari ini.

Mohamad menegaskan, beliau sudah menjangkakan hasil persidangan hari ini bahawa BN akan kekal; seperti sedia ada.

“Saya tahu ia tidak akan tercapai sebab saya tak setuju, BN ada banyak sejarah kepada negara.

“BN tidak perlu dibubarkan sebaliknya, hanya wajar diselaraskan semula. Saya memang mahu terus kekal dan tidak terbubar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Mohamad, meskipun UMNO dan MIC tidak setuju BN dibubarkan tetapi setiap komponen bersetuju untuk mengambil kira saranan bersama.

Hal demikian, katanya, kajian struktur mesti dilakukan oleh BN terutamanya gerak kerja parti untuk menghadapi PRU15.

Selain itu, Mohamad berkata, bagi parti komponen MIC, mereka turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap terhadap pemusatan kuasa eksekutif sewaktu BN menjadi kerajaan sebelum ini kerana didakwa melemahkan peranan MIC.

"Sewaktu BN jadi kerajaan dulu, bantuan kepada masyarakat India disalurkan terus oleh kerajaan tanpa melalui MIC, ini dilihat melemahkan fungsi MIC tidak seperti yang diamalkan ketika era Tan Sri S Sammy Vellu.

"Dengan mengambil kira kritikan dan saranan itu, BN akan menubuhkan struktur jawatankuasa kerja di peringkat negeri dan Parlimen," jelasnya.

Mengulas perkembangan terbaharu berkenaan perkahwinan UMNO dan Pas yang diikat secara rasmi pada 5 Mac lalu, Mohamad berkata, kerjasama itu masih diperingkat UMNO dan Pas sahaja, tidak berkembang kepada BN.

Namun katanya, kedua-dua komponen BN iaitu MCA dan MIC faham tentang kesepakatan itu untuk membangunkan agenda ummah, Melayu dan Islam.