JKDM disyor tuntut duti kenderaan import yang terkurang dengan segera

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu membuat tuntutan duti kastam yang terkurang pungut berjumlah RM5.92 juta ke atas kenderaan import baharu dan terpakai dengan segera.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 yang dikeluarkan pada Khamis, semakan audit terhadap 669 sampel Borang K1 mendapati nilai kenderaan import yang diikrar di 28 borang telah terkurang nyata sebanyak RM2.58 juta menyebabkan ketirisan hasil duti kastam.

Perkara ini berlaku disebabkan oleh kesilapan ejen kastam membuat pengikraran import dan kelemahan pihak JKDM semasa kelulusan pengimportan diberikan termasuk model kenderaan yang diikrarkan tidak tepat.

Laporan itu turut menyatakan pemeriksaan fizikal oleh pegawai pemeriksa juga tidak dibuat dengan teliti.

Semakan audit terhadap nombor casis bagi 12 kenderaan import yang dinyatakan di Borang K1 berbeza dengan model sebenar yang berdaftar di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ejen kastam turut tidak menyatakan model kenderaan yang tepat semasa pengikraran di Borang K1 melibatkan nilai kenderaan berjumlah RM0.94 juta dan jumlah duti kastam yang dibayar berjumlah RM1.73 juta.

Semakan lanjut mendapati nilai kenderaan yang sebenar sebagaimana Warta Kerajaan Persekutuan (Warta) mengikut model kenderaan bagi lapan transaksi import yang diikrar adalah berjumlah RM0.57 juta berbanding sepatutnya diikrar berjumlah RM2.61 juta.

Justeru, pihak audit mengesyorkan mengenakan denda sebagaimana Seksyen 133, Akta Kastam 1967 (Akta 235) terhadap pengimport kenderaan yang membuat perakuan/ikrar tidak tepat di Borang K1 dan siasatan sama ada berlaku kecuaian pegawai JKDM semasa meluluskan transaksi import kenderaan turut perlu dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, cawangan Verifikasi dan Profiling, Bahagian Perkhidmatan Teknik hendaklah menjalankan pemeriksaan fizikal secara berkala dan menyemak laporan penilaian risiko pengimport kenderaan untuk memastikan pungutan duti import adalah tepat.

Menurut laporan itu, bagi 2020 dan 2019, duti kastam terhadap kenderaan import persendirian menyumbang sebanyak RM6.22 bilion atau 7.7 peratus daripada hasil keseluruhan JKDM berjumlah RM80.60 bilion.

Sehingga Julai 2021, JKDM belum membuat sebarang tuntutan ke atas duti kastam yang terkurang pungut berjumlah RM4.01 juta.

Kadar duti atau cukai yang dikira termaktub di dalam Perintah Duti Kastam 2017, Perintah Duti Eksais 2017 dan Perintah Cukai Jualan 2018.

Kadar bagi duti import adalah lima peratus hingga 30 peratus, duti eksais antara 60 peratus hingga 105 peratus dan cukai jualan import antara kosong peratus hingga 10 peratus. - Bernama