Cubaan seludup lebih 1,500 liter diesel gagal

Ariffin (duduk tengah) menunjukkan hos yang digunakan untuk memindahkan diesel kepada bot nelayan lain di tengah laut.
Ariffin (duduk tengah) menunjukkan hos yang digunakan untuk memindahkan diesel kepada bot nelayan lain di tengah laut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel lebih 1,500 liter bernilai RM1.5 juta dalam satu Op Kuda Laut pada Selasa.

Bot milik nelayan asing Vietnam yang dipercayai berfungsi sebagai bot bekalan atau 'feeder' minyak kepada bot- bot nelayan Vietnam itu ditahan dalam operasi kira-kira jam 6.20 petang di kedudukan 81.3 batu nautika dari Kuala Terengganu di sini.

Turut ditahan, tiga kru termasuk tekong yang berusia antara 35 hingga 54 tahun dan kesemuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, semasa rondaan dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) Redang di perairan Terengganu telah mengesan sebuah bot yang mencurigakan disyaki bot nelayan asing Vietnam.

Menurutnya, bot yang sudah diubahsuai itu berjaya ditahan selepas setengah jam dikejar dan hasil siasatan awal dipercayai bot ini berfungsi mengagihkan bekalan minyak kepada semua bot nelayan Vietnam yang ceroboh perairan negara.

"Siasatan juga mendapati bot berkenaan sudah hampir sebulan berada di perairan negara selepas melihat jumlah diesel yang masih tinggal di dalam bot tersebut dan dipercayai dalam perjalanan balik ke Vietnam bagi mengambil bekalan minyak baharu," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Malaysia Terengganu di sini pada Khamis.

Dengan penahanan bot ketiga yang menggunakan modus operandi sama, Ariffin yakin pihaknya berjaya melumpuhkan aktiviti 'haram' penyeludupan minyak di tengah laut.

Katanya, kesemua tahanan dan rampasan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Artikel Berkaitan:

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan daripada masa ke masa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim, justeru itu kerjasama masyarakat terutama komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Terengganu di talian 09-6223657," katanya.