PAC panggil KSU Perbendaharaan, KP Kastam isu sistem uCustoms

Wong Kah Woh (tengah) dan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid (kanan) ketika sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Wong Kah Woh (tengah) dan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid (kanan) ketika sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir pada bulan depan berhubung isu sistem uCustoms yang gagal disiapkan.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pihaknya akan mengadakan prosiding selama dua hari berhubung projek tersebut pada 10 dan 18 November ini.

“Kami akan memanggil mereka untuk memberikan penjelasan kepada pihak PAC terlebih dahulu sebelum kami tentukan saksi-saksi lain yang akan dipanggil,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, pada Khamis.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum ini mendedahkan sistem uCustoms oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.

Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.

Kah Woh berkata, PAC juga dijangka mengadakan prosiding berhubung isu pembayaran tidak teratur membabitkan Projek Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan berjumlah RM499.18 juta pada Disember depan.

LKAN Tahun 2020 yang dikeluarkan pada Khamis mendapati bayaran tuntutan kos penyenggaraan projek berkenaan telah dibayar tanpa pengesahan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI). - Bernama

Artikel Berkaitan: