X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Kadar kematian akibat TB meningkat kesan kemunculan Covid-19: Khairy

Kadar kematian akibat penyakit batuk kering di Malaysia meningkat lima peratus dan pengesanan kes menurun sebanyak 10 peratus tahun lepas berbanding 2019, berikutan kesan kemunculan pandemik Covid-19. - Foto hiasan 123rf
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar kematian akibat Tuberkulosis (TB - penyakit batuk kering) di Malaysia meningkat lima peratus dan pengesanan kes menurun sebanyak 10 peratus tahun lepas berbanding 2019, berikutan kesan kemunculan pandemik Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, disebabkan persamaan tertentu dalam sifat kedua-dua penyakit berjangkit ini, ia membawa kepada kemunculan beberapa akibat yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, semasa langkah-langkah bagi membendung wabak itu mengalihkan sumber dan memberi kesan kepada perkhidmatan rawatan penting TB dalam negara, langkah-langkah seperti memakai topeng muka, penjarakan fizikal, mengelakkan tempat yang sesak dan meningkatkan kesedaran kebersihan dan membantu mengurangkan penyebaran kuman TB,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam nota intervensi di mesyuarat The Regional Committee Meeting Sesi ke-72 bagi Pasifik barat (RCM72), yang berlangsung di Himeji, Jepun pada Khamis.

Beliau berkata, Malaysia sangat berhati-hati dalam memastikan bahawa kemajuan yang dicapai dalam penjagaan dan pencegahan TB tidak dibantutkan oleh pandemik Covid-19 dan telah memperkenalkan pendekatan norma baharu terutamanya dalam mengesan dan merawat pesakit TB.

“Perundingan maya dan Terapi Pemerhatian Terus (DOT) telah diamalkan sejak permulaan pandemik, dan ujian serentak bagi TB dan COVID-19 digalakkan dengan mengambil kira persamaan simptom,” katanya, sambil menambah aktiviti capaian dijalankan dengan menyasarkan kumpulan berisiko tinggi dan kawasan hotspot untuk TB.

Khairy berkata, penyakit itu kekal menjadi kebimbangan utama kesihatan awam utama di negara ini dengan kadar pemberitahuan TB (kes TB baharu dan berulang dimaklumkan pada tahun tertentu) sebanyak 72 bagi setiap 100,000 penduduk dan kadar kematian 7.1 bagi setiap 100,000 penduduk tahun lepas.

Beliau berkata, Malaysia melaporkan sekitar 20 hingga 21 peratus jangkitan TB tersembunyi setiap tahun, yang mempunyai potensi risiko untuk beralih kepada TB aktif pada tahun-tahun berikutnya, namun pengambilan langkah-langkah rawatan pencegahan TB masih perlahan, iaitu sekitar 60 peratus untuk 2020.

“Drug resistant TB (DRTB) berterusan dan mengancam keselamatan kesihatan kita. Malaysia akan terus memperkukuh saringan TB terpendam dan akan terus menyediakan Terapi Pencegahan Tibi (TPT) dan memastikan DRTB dikenal pasti dan dirawat dengan sewajarnya,” katanya.

Khairy berkata, Malaysia komited sepenuhnya untuk mencapai sasaran menamatkan TB menjelang 2035 dan telah membangunkan Pelan Strategik Nasional untuk Menamatkan Tibi (2021-2030) selaras dengan strategi yang dicadangkan oleh Pejabat Serantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WPRO).

“Sehubungan itu, Malaysia menyokong Rangka Kerja Serantau Pasifik Barat untuk Menamatkan TB (2021–2030),” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!