X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

PRN Melaka: Parti politik ubah strategi kempen, manfaat media sosial

Mas Ermieyati
A
A

MELAKA - Penggunaan platform media sosial akan menjadi alternatif utama bagi kebanyakan parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Ia susulan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan larangan untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya berkuat kuasa 25 Oktober lepas sehingga 27 November.

Mengambil pengajaran daripada dua parti yang dikompaun pada Rabu susulan kegagalan mematuhi larangan berkenaan termasuk prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), beberapa pimpinan politik di negeri ini senada bahawa strategi mendekati penggundi perlu diubah mengikut norma baharu.

Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah berkenaan memaksa parti mengubah pendekatan berkempen dan gerak kerja yang berkonsepkan konvensional kepada penggunaan penuh teknologi.

“Langkah berkenaan ada baik dan buruknya...yang baiknya ialah dapat kurangkan pertemuan secara fizikal dengan semua pihak terutama pengundi, dan pada masa sama menyekat penularan Covid-19.

“Selain itu, kos logistik bagi PRN Melaka mungkin dapat dikurangkan, namun kita juga kena terima hakikat bahawa ia juga menjadi cabaran besar kepada semua parti politik dalam menyantuni pengundi," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Latipah Omar berkata, larangan itu bukan penghalang kepada UMNO dan BN yang telah memiliki strategi tersendiri termasuk menggunakan media sosial untuk meraih undi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO negeri bagaimanapun menyifatkan larangan yang dikenakan KKM itu tidak wajar dengan Melaka yang kini merekodkan jumlah populasi dewasa yang telah lengkap divaksin melebihi 90 peratus, selain ia telah beralih ke Fasa Empat PPN.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!