X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

'Saya gembira penuhi segala hasratnya sebelum dia pergi'

Wan Sazatul Azma (kiri) menunjukkan gambar arwah Muhammad Alif dan Nur Aliya Najwa menunjukkan gambar suaminya
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu tidak menyangka hasrat anaknya, Muhammad Alif Haikal Ludin, 15, untuk memandu jengkaut menjadi impian terakhir anak bongsunya itu sebelum maut dipanah petir di kawasan kuari Jerus, Pasir Puteh pada Rabu.

Wan Sazatul Azma Sanudin, 42, yang merupakan kakitangan di kuari itu berkata, sebelum ini, sudah acap kali arwah meminta kebenaran untuk mengendalikan jentera berat tersebut namun dia tidak memberikan kebenaran.

"Namun semalam (Rabu) saya lembut hati dan memberikan kebenaran kepadanya untuk berbuat demikian kerana arwah memang boleh mengendalikan jentera itu.

"Bukan itu sahaja, arwah turut meminta saya membeli McDonald's kerana dia teringin sangat hendak makan, jadi saya telah penuhi hasrat tersebut dan tidak menyangka ia merupakan permintaan terakhir arwah, sebelum dijemput oleh Ilahi," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Hutan Buloh, Melor pada Khamis.

Wan Sazatul Azma sebelum itu menerima kunjungan Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim.

Menurutnya, pada kebiasaan, jam 5.30 petang mereka semua akan pulang ke rumah, bagaimanapun pada hari kejadian Muhammad Alif secara diam-diam bersama abang ipar arwah telah kembali semula ke lokasi.

Katanya, semasa mahu menutup pintu lori mereka berdua telah terkena panahan petir yang berlaku secara mengejut.

Wan Sazatul Azma (kanan) menerima sumbangan daripada Rohani yang hadir ke rumahnya mewakili kerajaan negeri pada Khamis.
Wan Sazatul Azma (kanan) menerima sumbangan daripada Rohani yang hadir ke rumahnya mewakili kerajaan negeri pada Khamis.

Wan Sazatul berkata, panahan itu mengakibatkan anak bongsunya itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan menerimanya dengan hati terbuka.

"Sebagai ibu, saya gembira dapat penuhi segala hasratnya sebelum dia pergi," katanya.

Jenazah remaja berkenaan yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Azhariah Melor selamat dikebumikan pada jam 1.30 pagi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang merupakan abang ipar kepada arwah iaitu Muhammad Khairul Fikri Ismail, 27, mengalami kecederaan teruk pada paha kiri dan luka di kepala disebabkan panahan petir.

Menurut isterinya yang mengandung lima bulan, Nur Aliya Najwa Ludin, 21, suaminya kini sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Katanya, Muhammad Khairul Fikri bekerja sebagai pemandu lori di kuari tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!