Guru enggan divaksin perlu akur berdepan tindakan tatatertib

Kumpulan guru yang masih enggan divaksin di negeri Terengganu perlu akur untuk berdepan sebarang tindakan tatatertib yang akan diambil pihak KPM selepas 1 November ini. - Gambar hiasan
Kumpulan guru yang masih enggan divaksin di negeri Terengganu perlu akur untuk berdepan sebarang tindakan tatatertib yang akan diambil pihak KPM selepas 1 November ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kumpulan guru yang masih enggan divaksin di negeri Terengganu perlu akur untuk berdepan sebarang tindakan tatatertib yang akan diambil pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas 1 November ini.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, tindakan itu bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka yang akan dibuka melibatkan semua pelajar di negeri ini bermula 14 November depan tidak terganggu.

"Guru tidak divaksin perlu akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian, sama ada perlu menjalankan ujian saringan Covid-19 setiap kali mengajar atau wujudnya pengasingan antara pelajar dan guru.

"Semua guru terutama yang enggan divaksin telah sedia maklum berhubung ketetapan ini termasuk diberi pilihan sama ada mahu divaksin, dipindahkan atau enggan berkhidmat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.

Satiful (dua dari kiri) bersama Salim (kiri) ketika menyampaikan anugerah Tokoh Guru Negeri Terengganu 2021, Engku Naimah Engku Taib (dua dari kanan).
Satiful (dua dari kiri) bersama Salim (kiri) ketika menyampaikan anugerah Tokoh Guru Negeri Terengganu 2021, Engku Naimah Engku Taib (dua dari kanan).

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri, Salim Ab Ghani.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Satiful berkata, seramai 145,976 pelajar di Terengganu akan mula bersekolah pada 8 November, manakala keseluruhan 248,621 pelajar di negeri ini akan memulakan sesi persekolahan pada 14 November depan secara berperingkat.

Selasa lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihak kementerian memberi tempoh sehingga 1 November ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, ia selaras ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengkehendaki semua penjawat awam patuh kepada pekeliling mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November atau berdepan tindakan tatatertib.