X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Arak jenama Timah: Hanipa gesa kerajaan jawab

Kerajaan digesa tampil memberi penjelasan bagaimana arak jenama Timah keluaran syarikat arak tempatan dibenar untuk dilancarkan.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menggesa kerajaan tampil memberi penjelasan bagaimana arak jenama Timah keluaran syarikat arak tempatan dibenar untuk dilancarkan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi justifikasi sehingga arak itu dibenarkan untuk dilancar dalam pasaran negara ini.

"Sekarang ini heboh tentang arak berjenama Timah walaupun cuba ditonjolkan ia tidak berkaitan dengan orang Islam. Tetapi selepas kita dengar Timah, kita dengar jenama arak Omar pula.

"Sebab sekarang ini pihak kerajaan sebelah sana dilabelkan sebagai kerajaan Melayu Islam, jadi orang Islam sudah tentu merasakan apa-apa yang berkaitan Islam itu, kerajaan mesti membela," katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Arak jenama Timah menjadi kontroversi berikutan jenamanya dianggap berkaitan nama orang Melayu dan Islam iaitu 'Fatimah'.

Malah, label pada botol arak itu juga menggunakan paparan lelaki berjanggut dan memakai kopiah.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar minuman keras itu sebelum ini memberi penjelasan bahawa nama 'Timah' sebenarnya merujuk kepada bijih timah.

Sementara itu, Mohamed Hanipa berkata, arak jenama Timah dilancarkan pada 7 Oktober lalu dan telah menerima banyak pengiktirafan termasuk anugerah peringkat antarabangsa.

Berikutan itu, beliau turut mempersoalkan pendirian kerajaan terhadap kewujudan arak jenama sedemikian.

"Adakah kerajaan merasakan bahawa jenama Timah hari ini tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada orang Islam?

"Saya tidak kata orang bukan Islam tidak ada hak untuk meminum arak. Itu tak ada masalah," katanya.

Beliau berkata, penggunaan jenama 'Timah' mengelirukan sehingga membuatkan ramai orang marah, apatah lagi isu arak sememangnya sesuatu perkara sensitif bagi umat Islam.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!