X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Sekolah JAIS mula operasi 1 November depan

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan pengoperasian sekolah agama negeri bermula 1 November depan.Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan pengoperasian sekolah agama negeri bermula 1 November depan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pembukaan sekolah itu melibatkan sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dan Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga.

Menurutnya, selain itu, bagi sekolah menengah melibatkan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) membabitkan pelajar Tingkatan Tiga dan Empat pada tarikh sama.

"Pembukaan sekolah pada 8 November ini pula membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam di semua sekolah rendah terbabit dan pelajar Tingkatan Satu dan Dua di MITS," katanya menerusi edaran surat pada Rabu.

Mohd Shahzihan berkata, jadual penggiliran 50 peratus dibahagi kepada Kumpulan A dan Kumpulan B berdasarkan jumlah keseluruhan murid dalam setiap kelas.

Katanya, jadual penggiliran seminggu sekali bagi setiap kumpulan A dan Kumpulan B tersebut.

"Pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara penggiliran akan berlaku dalam dua keadaan iaitu PdP secara bersemuka di sekolah dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara sendiri di rumah.

"Murid yang mengikuti PdP secara bersemuka akan belajar mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak sekolah," jelasnya.

Menurut beliau, bagi murid yang berada di rumah, mereka akan melaksanakan PdPR dengan menggunakan bahan pembelajaran dan melaksanakan tugasan yang diberikan oleh guru.

"Guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran mereka hadir ke sekolah untuk PdP secara bersemuka sebelum sekolah dibuka.

"Guru juga akan memaklumkan kepada setiap kumpulan murid tentang persediaan yang perlu dilaksanakan semasa mereka menjalani PdPR secara sendiri atau sebelum mereka hadir ke sekolah untuk PdP secara bersemuka," kata beliau.

Bagaimanapun jelas beliau, pembukaan semula sekolah di MITS adalah secara bersemuka dan tiada penggiliran.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!