iCON Kedah bantu kurangkan jurang pembangunan

A
A
A

PUSAT Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON) Kedah yang akan dibangunkan di Yan dan Baling membantu mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, projek itu melibatkan NCIA dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah, State Secretary Kedah (Incorporation) (SSK) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Beliau berkata, menerusi Bajet 2021, Kementerian Kewangan telah meluluskan sebanyak dua projek rintis iCON iaitu iCON Yan yang terletak di Guar Chempedak dan iCON Baling yang terletak di pekan Baling.

"Kedua-dua lokasi pembangunan iCON terletak di kawasan yang kurang membangun dan menghadapi masalah kemiskinan tegar yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Pelancaran iCON Kedah yang berlangsung secara dalam talian pada Khamis.

Jebasingam berkata, iCON bakal dibangunkan di atas tanah seluas 3.80 hektar di daerah Yan dan 3.64 hektar di daerah Baling.

"Kerja-kerja pembinaan infrastruktur bagi kedua-dua tapak iCON akan bermula pada suku kedua tahun 2022 dan akan dibuka kepada orang ramai pada awal tahun 2024," jelas beliau.

Sementara itu, Jebasingam berkata, iCON Yan dan iCON Baling bakal menyediakan landasan kepada usahawan dan komuniti luar bandar dengan pasaran di bandar yang lebih luas.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa sama, iCON dapat memperkasa budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat tempatan melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan.

"Projek ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 600 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu di negeri Kedah," katanya.

Beliau berkata, sebagai salah satu projek teras di bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025, aktiviti ekonomi di kawasan iCON akan diterajui oleh PMKS berpotensi dan disokong oleh program Modal Insan NCIA seperti entrepreneurNCER, Dana Usahawan (DU@NCER) dan empowerNCER.

"entrepreneurNCER bermatlamat untuk membantu usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan melalui kemudahan pembiayaan dan program latihan bimbingan dengan kerjasama Maybank dan Agrobank.

"Sehingga kini program entrepreneurNCER telah memanfaatkan 2,557 usahawan daripada pelbagai sektor seperti penanaman padi, pemborongan dan peruncitan, perkhidmatan, pembuatan dan pertanian di negeri Kedah," jelas beliau.

Tambah Jebasingam, program DU@NCER merupakan dana pemudah cara yang disediakan kepada syarikat bumiputera sebagai penggerak pelaburan swasta di wilayah NCER.

"Salah satu syarikat yang menerima manfaat daripada Program DU@NCER ialah pengeluar makanan dan minuman terkemuka negara, Al Haddad Manufacturing Sdn Bhd yang terlibat dalam pembangunan fasiliti pembuatan di Sungai Petani.

Syarikat Al-Hadad Manufacturing Sdn Bhd akan menjadi syarikat perintis di iCON dan akan bakal membangunkan Al-Hadad Mart dan Qah Wah Café," katanya.