Tak sempat memancing, bot dinaiki ditahan Maritim

Seramai 10 orang ditahan ketika dalam perjalanan untuk memancing di kedudukan 0.2 batu nautika timur Batu Uban pada petang Rabu.
Seramai 10 orang ditahan ketika dalam perjalanan untuk memancing di kedudukan 0.2 batu nautika timur Batu Uban pada petang Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot yang membawa penumpang tanpa lesen di kedudukan 0.2 batu nautika timur Batu Uban pada petang Rabu.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot dinaiki seorang tekong berusia 17 tahun bersama sembilan penumpang termasuk kanak-kanak berusia lingkungan lapan hingga 64 tahun ditahan ketika dalam perjalanan untuk melakukan aktiviti memancing pada jam 5.40 petang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran dan tekong juga gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang.

"Bot dan semua penumpang yang ditahan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban serta dirujuk kepada Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa lesen bot yang sah. Jika didapati bersalah boleh didenda maksimum RM10,000," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Abd Razak berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua pemilik dan tekong bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.

"Penumpang juga harus peka sekiranya ingin menggunakan pengangkutan laut dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa agar tahap keselamatan mereka lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini," katanya.

"Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 042626146 atau talian kecemasan MERS 999," katanya.

Artikel Berkaitan: