JKSM lancar dua buku babitkan pesalah syariah

Idris semasa merasmikan pelancaran buku SOP Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara dan Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) bagi pesalah syariah pada Khamis.
Idris semasa merasmikan pelancaran buku SOP Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara dan Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) bagi pesalah syariah pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melancarkan dua buku iaitu Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara dan Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) bagi pesalah syariah.

JKSM dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan kerjasama bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, Idris merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kerjasama diberikan kepada JKSM dalam menyediakan kedua-dua buku tersebut.

“Usaha-usaha untuk menyediakan kedua-dua buku ini telah bermula sejak pertengahan tahun 2019 melibatkan JKSM sebagai urusetia, pegawai-pegawai dari Jabatan Penjara Malaysia dan juga KKM,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Menurut JKSM, Idris turut meluahkan rasa bangga atas komitmen kesemua agensi iaitu JKSM, Mahkamah Syariah Negeri (MSN), Jabatan Penjara dan KKM yang telah bekerjasama dengan baik untuk menghasilkan garis panduan dan SOP berkenaan.

Tambah kenyataan itu, buku SOP Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah mengandungi enam perkara dan tiga jadual merangkumi panduan kerja untuk semua agensi yang berkaitan.

Antaranya ialah Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan KKM iaitu bagi melaksanakan hukuman sebatan di luar penjara untuk pesalah-pesalah jenayah syariah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Buku Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) pula mengandungi sembilan perkara dan tiga jadual bertujuan menerangkan proses pengendalian PKW bermula daripada prosedur menjatuhkan hukuman oleh hakim, pra dan peringkat pasca PKW.

“Dengan adanya Buku Garis Panduan PKW ini, ia akan memberi panduan yang amat berguna kepada semua pihak terlibat dalam melaksanakan hukuman alternatif ini.

“Pelaksanaan hukuman alternatif ini diharap dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan lancar. Paling utama pelaksanaannya seragam di seluruh Malaysia,” ujar kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, jaringan kerjasama yang baik antara pihak mahkamah syariah dan Jabatan Penjara, koordinasi serta mobiliti seseorang pesalah jenayah syariah bagi menjalani hukuman akan dapat menzahirkan keadilan sistem undang-undang syariah itu sendiri.

“Dengan pelancaran kedua-dua buku pada hari ini akan menjadi titik permulaan ke arah kecemerlangan dan menjadi sejarah kepada sistem kehakiman serta perundangan syariah di negara ini,” ujarnya.