Malaysia U-23 kekal rentak kemenangan, atasi Mongolia 1-0

Malaysia atasi Mongolia dalam perlawanan kedua Kumpulan J.- Foto FAM
Malaysia atasi Mongolia dalam perlawanan kedua Kumpulan J.- Foto FAM
A
A
A

MALAYSIA mengekalkan rentak kemenangan pada Kelayakan Piala Asia 2022 Bawah-23 (U-23) apabila menang tipis 1-0 ketika bertemu Mongolia dalam perlawanan kedua Kumpulan J di Stadium Mongolia Football Federation (MFF) di Ulaanbaatar sebentar tadi.

Pada babak pertama permainan memihak kepada Mongolia menerusi beberapa percubaan bahaya ke gawang gol Malaysia.

Namun, kekebalan pertahanan Harimau Malaya U-23 berjaya mengelakkan gawang negara daripada dibolosi tuan rumah.

Malaysia akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-40 apabila Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar berjaya menanduk masuk hantaran Hairey Hakim untuk meletakkan pasukan negara di depan dalam baki 5 minit lagi sebelum tamat separuh masa pertama.

Aksi babak kedua dilihat semakin sengit apabila kedua-dua pasukan saling melakukan serangan selain percubaan-percubaan bahaya ke gawang gol.

Hasrat Nur Azfar Fikri untuk merekodkan gol ketiga peribadi pada saingan kelayakan itu tidak kesampaian apabila tandukan ke belakang yang dilakukan olehnya pada minit ke-51 menerusi sepakan percuma gagal melepasi gawang lawan.

Malaysia sekali lagi cuba untuk mendapatkan gol kedua perlawanan, namun rembatan padu kapten pasukan Malaysia U-23, Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-74 sekadar mencium palang gol lawan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney memimpin saingan Kumpulan J dengan enam mata penuh.

Artikel Berkaitan:

Malaysia selepas ini akan bertemu Thailand pada jam 11 pagi Ahad (31 Oktober) bagi aksi penutup perlawanan Kumpulan J.

Sejumlah 16 pasukan akan layak untuk peringkat akhir Piala Asia U-23 di Uzbekistan yang dijadualkan berlangsung 1-19 Jun 2022.