KPPK manfaatkan teknologi pertingkat hasil sawit, getah

KPPK sentiasa prihatin serta komited dalam usaha meningkatkan hasil komoditi sawit dan getah dengan mengaplikasikan teknologi semasa.
KPPK sentiasa prihatin serta komited dalam usaha meningkatkan hasil komoditi sawit dan getah dengan mengaplikasikan teknologi semasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) sentiasa prihatin serta komited dalam usaha-usaha meningkatkan hasil komoditi sawit dan getah dengan mengaplikasikan teknologi semasa seperti sistem navigasi satelit dan pengairan pintar.

Malah, Timbalan Menteri II, Datuk Willie Mongin berkata, kementerian telah menjalankan banyak usaha dalam menggalakkan penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT), terutama bagi peningkatan hasil tanaman kelapa sawit dan getah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) di Dewan Rakyat pada Khamis mengenai usaha kementerian meningkatkan hasil sawit dan getah menerusi kaedah pertanian pintar khususnya penggunaan teknologi sistem navigasi satelit dan sistem pengairan pintar.

Willie berkata, pada masa ini, penerapan IoT di sektor sawit yang dijalankan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah menerusi penggunaan teknologi geospatial dan dron serta Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Sistem Maklumat Sumber Sawit (OPRIS).

“Sistem OPRIS mengenal pasti serta menyediakan maklumat geospatial tanaman sawit, jenis tanah, agroiklim, kawasan yang sesuai ditanam sawit dan kawasan tanaman sawit yang berpotensi serta membantu pemetaan kawasan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Maklumat-maklumat ini dapat membantu pengurusan ladang yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan hasil sawit,” kata beliau.

Bagi industri getah, pengkalan data raya digunakan dalam menjalankan usaha penderiaan jauh dan sistem navigasi satelit bagi tujuan pengurusan nutrien pintar di kawasan penanaman getah, kata beliau.

Menurutnya, pembangunan pangkalan data ini dapat meningkatkan pertumbuhan serta produktiviti getah manakala Sistem Kedudukan Global (GPS) turut diaplikasikan sebagai indikator untuk menjalankan aktiviti penanaman semula oleh pekebun kecil.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, teknologi juga digunakan bagi tujuan pengurusan pengairan untuk memahami dan mengaitkan kitar air ekosistem sawit dan getah dengan persekitaran dan perubahan cuaca yang seterusnya membantu pengurusan dan pengeluaran hasil yang lebih baik.

“Pada masa sama, kerajaan juga sentiasa terbuka untuk membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Willie turut menekankan kepentingan industri komoditi yang menyumbang sebanyak 20-25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) setiap tahun.

“Pada 2020 misalnya, industri komoditi menyumbang sebanyak RM180 bilion kepada KDNK yang merupakan satu pulangan cukup tinggi untuk negara,” katanya. - Bernama