Kelantan bakal gubal lima dasar berlandaskan al-Quran

Ahmad ketika Majlis Amanat Khas 31 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, pada Khamis.
Ahmad ketika Majlis Amanat Khas 31 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan kini dalam usaha membincang dan menjayakan penggubalan lima dasar–dasar yang berlandaskan al-Quran dan sunah sebagai asas utama dalam pentadbiran.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, antara dasar tersebut ialah Dasar Warga Emas Al-Mukarramun, Dasar Wanita Kelantan (Semakan 2020), Dasar Pelaburan Negeri, Dasar Kebersihan dan Dasar Al-Qawwamah.

"Sekarang kita sedang giat mengadakan perbincangan, forum serta sumbang saran dalam kalangan mereka yang pakar dalam bidang-bidang yang hendak kita laksanakan.

"Dasar-dasar, pelan dan polisi yang dijayakan terangkum di bawah tiga tonggak utama iaitu Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan. Ia kini dilaksanakan di bawah Pelan Strategik Kelantan Melangkah Ke Hadapan 2016-2025," katanya ketika berucap di Majlis Amanat Khas 31 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Ahmad berkata, hubungan kerajaan negeri bersama Menteri dan Timbalan Menteri dari Kelantan memberi pelbagai impak positif terutama melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri Kelantan.

Beliau berkata, kebersamaan kerajaan negeri Kelantan dan Persekutuan adalah memberi fokus utama dalam pelaksanaan projek-projek keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi pembinaan dan penaikan taraf rangkaian infrastruktur perhubungan serta utiliti untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Beliau juga yakin penambahan peruntukan daripada RM700 juta kepada RM1 bilion di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) bakal melonjak pertumbuhan ekonomi negeri.

"Saya juga mengucapkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam di negeri Kelantan atas kejayaan cemerlang dalam pentadbiran dan pengurusan.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak telah memainkan peranan penting dalam memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik. penghargaan khas saya juga kepada para petugas barisan hadapan khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan lain-lain jabatan serta agensi yang telah berkorban bagi membendung penularan wabak Covid-19," katanya.