'Harap harga getah sekurang-kurangnya RM3.50 sekilogram'

Mohd Azam
Mohd Azam
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Padang Terap berharap agar harga lantai bagi getah sekerap dinaikkan sekurang-kurangnya RM3.50 sekilogram (kg) dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat.

Yang Dipertua Pas Padang Terap, Mohd Azam Abd Aziz berkata, kerajaan diharapkan supaya memberi sentuhan khusus kepada nasib penoreh getah dan Bajet 2022 merupakan medan terbaik merealisasikan perkara tersebut.

Beliau berkata, walaupun pendapatan golongan penoreh getah dikatakan agak stabil ketika ini apabila harga mencecah RM3 sekilogram, namun hakikatnya ramai antara mereka berdepan kemerosotan pendapatan disebabkan faktor penyakit pokok dan keadaan cuaca.

"Kebanyakan penoreh getah luar bandar merupakan kategori miskin dan sangat terkesan dengan pandemik Covid-19. Jadi, antara cadangan kepada kerajaan ialah meletakan harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya kepada RM3.50 sekilogram.

"Kita juga bimbang pekebun kecil getah menukar tanaman getah kepada tanaman lain yang lebih lumayan harga di pasaran. Sudah tentu akan menjejaskan negara sebagai pengeluar getah utama," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Azam berkata, Pas Padang Terap juga menyambut baik kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa kerajaan akan mencari formula menaikan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram.

"Semoga impian pekebun kecil dan penoreh getah mendapat pendapatan yang stabil dan lumayan menerusi harga lantai getah sekerap yang tinggi dapat direalisasikan di era Keluarga Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob," katanya.

Artikel Berkaitan: