Isu arak: Pemuda Pas desak ADUN tarik balik kenyataan

Mohamed Sukri
Mohamed Sukri
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendesak seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini supaya menarik balik kenyataan dimuat naik menerusi media sosial peribadinya.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, ADUN terbabit mempersoalkan larangan ke atas umat Islam bekerja di syarikat atau kilang berkaitan arak.

Beliau berkata, kenyataan wakil rakyat tersebut jelas mempersenda hal ehwal Islam dan bersifat dangkal.

"Kenyataan ini seakan-akan mahu mengajar hal ehwal Islam kepada umat Islam bahawa larangan terhadap arak hanyalah minum sahaja tetapi tidak yang lain.

"Jelas dalam Islam bahawa larangan terhadap arak atau minuman memabukkan bukan sekadar minum tetapi termasuk juga kegiatan secara langsung yang jelas disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda mengenai 10 golongan dilaknat berkaitan arak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru, beliau berkata, sebagai umat Islam yang taat kepada perintah agama, wajib menuruti perintah semua larangan untuk dihindari dan tidak hanya menyempitkan skop kepada minum arak sahaja.

"Mengapa beliau bersungguh dan sibuk dalam hal ehwal Islam ini sedangkan beliau siapa?

"Hal ehwal Islam biarlah umat Islam yang menguruskannya kerana ia melibatkan soal hukum hakam (selain) kita mempunyai Mufti dan sarjana yang boleh bicara hal ini," tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Sukri berkata, sekiranya melibatkan perundangan berkaitan dengan hal ehwal Islam ia adalah di bawah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai ketua agama di negeri ini.

"Tidak pasti apa niat beliau dalam hantaran di media sosial sebegitu. Adakah mahu sengaja campur tangan atau mahu mempersendakan?

"(Apa) yang jelas, beliau cuba campur tangan, malah sikap beliau demikian jelas melampaui batas dengan cuba menghasut umat Islam melanggar ajaran Islam tersebut," ujarnya.

Menurutnya, sekiranya perkara itu dipandang sepi oleh pihak berkuasa dan umat Islam, dibimbangi akan berlaku lagi siri-siri kebiadapan dengan cuba berbicara dan campur tangan hal ehwal Islam di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Pas mendesak ADUN terbabit supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik hantaran siaran di media sosial tersebut.

"Pemuda Pas Selangor akan terus mendesak dan tidak teragak-agak mengarahkan semua Pemuda Pas kawasan untuk membuat laporan polis supaya tindakan di peringkat selanjutnya diambil," katanya.