Sabah disyor wujudkan enakmen kawal selia industri bekalan air

Tuan Ibrahim ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khais. - Foto Bernama
Tuan Ibrahim ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khais. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sabah dicadang mewujudkan satu enakmen mengawal selia industri bekalan air di negeri itu untuk memastikan fungsi kawal selia dan operasi diasingkan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia juga bagi membolehkan satu badan kawal selia diwujudkan supaya industri bekalan air di Sabah beroperasi secara lebih efektif.

“Di peringkat Persekutuan, Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara telah diwujudkan bagi melaksana fungsi kawal selia industri bekalan air di Semenanjung dan Labuan. Bagaimanapun, kedua-dua akta ini tidak terpakai di Sabah,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang mahu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyatakan peranan kerajaan Persekutuan dalam mengatasi masalah bekalan air di Sabah meliputi sumber dan rawatan air serta air tidak berhasil (NRW).

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan melalui KASA bertanggungjawab menyediakan pembiayaan secara pinjaman bagi pelaksanaan projek-projek bekalan air di kawasan bandar di Sabah.

Beliau berkata, sebanyak RM2.5 bilion pinjaman telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia kelapan (RMK8) hingga RMK10, selain RM2.2 bilion pinjaman bagi RMK12.

“Peruntukan secara geran diberikan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi projek-projek bekalan air luar bandar,” katanya.

Beliau menambah, urusan operasi dan pembangunan infrastruktur bekalan air di Sabah adalah di bawah tanggungjawab Menteri Kerja Raya Sabah melalui dasar-dasar yang ditetapkan Kementerian Kerja Raya Sabah.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pula katanya, merupakan pihak berkuasa air negeri yang diberi kuasa sejajar dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

“Dalam hal ini, ingin saya tegaskan bahawa sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan bekalan air di negeri Sabah, peranan JANS adalah kritikal dalam memastikan perancangan, pembangunan dan pengoperasian sistem bekalan air termasuklah perancangan berkaitan NRW (Air Tidak Terakaun) di Sabah dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. - Bernama