Ahli Parlimen segak, anggun berbaju batik di Dewan Rakyat

Syed Saddiq dan Annuar memakai baju batik ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis.
Syed Saddiq dan Annuar memakai baju batik ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini buat julung kalinya melakar sejarah apabila menyaksikan ahli-ahli Parlimen secara rasmi memakai baju batik setiap Khamis.

Ia selepas cadangan untuk membenarkan pemakaian baju batik lengan panjang itu diterima sebulat suara dalam Jawatankuasa Khas Dewan Rakyat, dan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 11 Oktober lalu.

Antara Ahli Parlimen yang dilihat memakai busana khazanah negara itu ialah Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong), yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Selain itu, turut memakai baju batik ialah Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh), Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) serta Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh).

Sebagai meraikan pemakaian baju batik, Nancy dalam masa yang sama turut mengumumkan berita gembira dengan pemberian rebat tunai sebanyak RM30 bagi pembelian RM100 kepada pembelian mana-mana produk kraf Malaysia.

"Saya mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat yang anggun dan segak mengenakan baju batik Malaysia masing-masing.

"Bagi meraikan hari bersejarah, hari pertama pemakaian batik di Parlimen, semua Keluarga Malaysia akan menerima rebat tunai sebanyak RM30 bagi pembelian RM100 ke atas pembelian mana-mana produk kraf Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Ini membantu industri batik, dan kita ada outlet di Parlimen juga dan mana-mana outlet kraftangan Malaysia," katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, pada Khamis.

Sebelum ini, cadangan pemakaian baju batik dibangkitkan Nurul Izzah sebagai usaha meningkatkan pemakaian batik di Malaysia, terutama di Parlimen, termasuk di Dewan Rakyat pada setiap Khamis. - Awani