47 kes ajaran sesat dilaporkan sejak Januari tahun lalu

Sebanyak 47 kes pemujaan salah atau ajaran sesat dilaporkan di negara ini sejak Januari 2020 hingga September lalu.Gambar hiasan
Sebanyak 47 kes pemujaan salah atau ajaran sesat dilaporkan di negara ini sejak Januari 2020 hingga September lalu.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 47 kes pemujaan salah atau ajaran sesat dilaporkan di negara ini sejak Januari 2020 hingga September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 33 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu dan bakinya pada tahun ini.

Katanya, bagi menangani isu penyelewengan akidah dalam kalangan umat Islam itu, beberapa langkah telah dilakukan kerajaan.

"Pertamanya, kita bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam aspek penyelidikan mengenai ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Yang kedua, kita mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama dengan kumpulan-kumpulan yang terlibat," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai jumlah laporan berkenaan ajaran sesat sepanjang tahun 2020 sehingga suku ketiga tahun 2021 serta usaha berterusan yang telah dilaksanakan kerajaan bagi mencegah penyebaran ajaran sesat tersebut.

Mengulas lanjut, Idris memberitahu, kerajaan turut melaksanakan kajian secara menyeluruh dalam pelbagai aspek tertentu sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

"Jabatan Mutfi di negeri juga mengeluarkan fatwa bagi ajaran terbabit mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum dan Muzakarah MKI dan perbincangan di peringkat jawatankuasa muzakarah fatwa negeri-negeri.

Artikel Berkaitan:

"Nasihat dan kaunseling agama turut diberi kepada mereka yang terlibat bagi memantau, mengembalikan akidah dan kehidupan mereka kepada kehidupan normal masyarakat," katanya.

Beliau menegaskan, dalam menangani isu-isu berkaitan ajaran sesat itu juga, kajian dilakukan secara berterusan termasuk oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Dua hari lepas kita telah adakan pertemuan dalam kalangan jawatankuasa untuk menangani penyelewengan akidah dan ajaran sesat ini.

"Kita menjemput semua negeri untuk tampil buat laporan serta perbincangan bagaimana untuk mengatasi hal sebegini," katanya.