Banjir: Empat PPS dibuka di Kedah

Anggota APM Pendang melakukan pemantauan paras air di Pendang pada Khamis.
Anggota APM Pendang melakukan pemantauan paras air di Pendang pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini pada Khamis bagi menempatkan mangsa banjir.

Sehingga jam 8 pagi, sebanyak empat PPS telah dibuka yang menempatkan seramai 219 mangsa banjir daripada 57 keluarga.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS itu melibatkan tiga di daerah Baling dan satu di daerah Pendang.

Beliau berkata, PPS Banggol Derom, Baling yang dibuka pada jam 9 malam Rabu menempatkan seramai 38 mangsa daripada sembilan keluarga berikutan jumlah mangsa banjir di daerah itu menunjukkan peningkatan.

"Pada Rabu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung yang menempatkan 29 mangsa daripada 10 keluarga dibuka pada jam 9 malam, manakala PPS SK Bandar dibuka pada jam 12 tengah malam menempatkan seramai 12 mangsa daripada dua keluarga.

"Sehingga kini, jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Baling ialah seramai 79 mangsa daripada 21 keluarga yang telah ditempatkan di tiga PPS tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bilangan mangsa di daerah Pendang yang dipindahkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah pada Khamis tidak berubah iaitu melibatkan seramai 140 orang daripada 36 keluarga.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang yang juga Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, tiada perubahan jumlah mangsa banjir di daerah itu setakat jam 8 pagi Khamis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai 140 mangsa daripada 36 keluarga di mukim Guar Kepayang, Ayer Putih, Padang Peliang, Padang Pusing dan Bukit Raya masih ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah pada Khamis.