Pos Malaysia kenakan caj 50 sen untuk pembayaran bil Astro

Annuar ketika Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Annuar ketika Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pos Malaysia baru sahaja mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 50 sen bagi pembayaran bil Astro di kaunter pejabat pos mulai 1 September lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, caj tersebut secara umumnya telah dilaksanakan oleh ejen-ejen pembayaran Astro yang lain sejak Januari.

Bagaimanapun, katanya, para pelanggan Astro masih mempunyai alternatif untuk membayar bil tanpa dikenakan sebarang caj perkhidmatan.

“Ia melalui perkhidmatan auto debit di mana pelanggan perlu mendaftar melalui portal layan diri atau di Pusat Khidmat Pelanggan Astro, platform Astro Quick Pay, portal Astro Self-Service, Saluran Astro 200 dan aplikasi My Astro.

“Selain itu, pengguna boleh membayar melalui platform JomPAY, pembayaran menggunakan kad debit dan kad kredit melalui kaunter di Pusat Khidmat Pelanggan Astro.

"Pembayaran juga boleh dibuat melalui bank-bank tempatan menerusi platform mesin pengeluaran wang automatik (ATM), perbankan dalam talian, perbankan khidmat pesanan ringkas (SMS), kaunter bank, ejen bank berdaftar, mesin deposit wang dan mesin deposit cek,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang bertanyakan mengenai caj 50 sen dikenakan kepada pelanggan yang membayar bil Astro di pejabat pos secara manual.

Sementara itu, Annuar turut menjawab soalan tambahan Kasthuri adakah pihak kementerian boleh menjadi orang tengah untuk memansuhkan caj 50 sen tersebut, atau pihak Astro menanggung caj berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Annuar menjelaskan, pihak kementerian tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan perkara berkenaan.

“Tapi itu satu cadangan yang baik, barangkali saya boleh merujuknya kepada Pos Malaysia,” jelas beliau.