GLOMAC tumpu jualan produk mampu milik

Produk hartanah dilancarkan oleh Glomac TK2022 difokuskan kepada penawaran rumah teres di perbandaran sedia ada seperti Saujana KLIA, Saujana Perdana, Saujana Utama 5 dan Saujana Jaya.
Produk hartanah dilancarkan oleh Glomac TK2022 difokuskan kepada penawaran rumah teres di perbandaran sedia ada seperti Saujana KLIA, Saujana Perdana, Saujana Utama 5 dan Saujana Jaya.
A
A
A

PRODUK hartanah yang dilancarkan oleh pemaju perumahan Glomac Berhad (Glomac) bagi Tahun Kewangan 2022 (TK2022) akan memberikan tumpuan kepada penawaran rumah teres di perbandaran sedia ada syarikat tersebut dan kediaman bertingkat tinggi mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, daripada keseluruhan RM282 juta produk hartanah dilancarkan pada TK2022, RM122 juta daripadanya adalah bagi rumah teres dua tingkat, Saujana KLIA diikuti kediaman bertingkat tinggi, Lakeside Residence, Puchong, Selangor (RM69.5 juta).

Sementara itu, produk dilancarkan tersebut turut merangkumi rumah perbandaran di Saujana Perdana, Kelana Jaya, Selangor dengan nilai RM44.5 juta, rumah teres dua tingkat Saujana Utama 5, Sungai Buloh, Selangor (RM20.5 juta) dan Saujana Jaya, Johor (RM25.5 juta).

“Walaupun jumlah produk hartanah yang kami lancarkan berjumlah agak rendah iaitu RM282 juta, namun dengan mengambil kira prestasi jualan pada tahun ini, kami berharap syarikat akan berjaya mencapai jumlah jualan melebihi produk dilancarkan.

“Pada tahun lepas, walaupun kita hanya lancarkan produk hartanah bernilai RM195 juta, namun kita berjaya merekodkan hasil jualan sebanyak RM235 juta,” katanya ketika sesi sidang akhbar maya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac ke-37 pada Rabu.

Dalam pada itu, Fateh berkata, kebanyakan produk dilancarkan oleh GLOMAC bagi tempoh dua tahun akan datang merupakan segmen hartanah perumahan mampu milik dengan harga RM500,000 dan ke bawah.

Beliau berkata, produk mampu milik syarikatnya itu termasuk hartanah rumah bertingkat tinggi yang merupakan sebahagian besar daripada nilai pembangunan kasar (GDV) yang kini mencecah RM8 bilion.

Pada masa sama, Fateh turut memaklumkan bahawa nilai hartanah tidak terjual syarikatnya termasuk yang masih dalam pembinaan setakat ini telah berkurang daripada RM120 juta tahun lepas kepada RM100 juta tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas isu peningkatan harga barangan pembinaan seperti besi dan simen yang meningkat lebih 20 peratus, pihaknya menjangkakan harga kedua barangan itu dijangka kembali stabil dalam tempoh tiga ke enam bulan akan datang.“Ini mengambil-kira tiada sekatan bekalan dan harga bahan itu kembali pulih pada Februari 2022,” ujarnya.