Minuman keras dibenarkan di bandar Arab Saudi?

Penggunaan minuman alkohol sedang dipertimbangkan di bandar raya moden dan futuristik, NEOM di Arab Saudi. - Foto Facebook
Penggunaan minuman alkohol sedang dipertimbangkan di bandar raya moden dan futuristik, NEOM di Arab Saudi. - Foto Facebook
A
A
A

RIYADH - Bandar raya moden dan futuristik, NEOM di Arab Saudi tidak menolak kemungkinan akan membenarkan penggunaan minuman keras, kata seorang pegawai kanan kepada AFP pada Rabu.

Jika penggunaannya dibenarkan, ia mungkin menjadi titik perubahan untuk negara Islam yang amat konservatif.

Tidak seperti negara-negara Teluk yang mengehadkan warga-warga asing untuk minum minuman keras tetapi ketika ini Arab Saudi melaksanakan pengharaman penuh minuman yang mengandungi alkohol.

Pakar-pakar menyatakan larangan tersebut menghalang lawatan dan minat untuk bekerja di negara beraja tersebut.

Namun, negara itu kini sedang melalui pembaharuan ekonomi dan sosial serta membuka negaranya kepada dunia luar.

Bandar raya NEOM yang bernilai AS$500 bilion (RM2.07 trilion) dan dibina di tepi Laut Merah merupakan salah satu Visi 2030 yang dirancang oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman untuk mempelbagaikan ekonomi negara bagi mengelak penggantungan ke atas pengeksportan minyak.

Ia akan beroperasi di bawah undang-undangnya yang tersendiri dan sedang dirangka.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Tech and Digital Holding Company di NEOM, Joseph Bradley tidak dapat mengesahkan kebenaran meminum minuman keras di bawah undang-undang baharu di bandar raya itu.

Artikel Berkaitan:

Namun, beliau memberitahu 'setiap orang memahami' keperluan untuk menarik kehadiran bakat-bakat asing dan pelancong ke Arab Saudi.

"Kerap kali kami ditanya ialah adakah terdapat alkohol (di bandar raya NEOM)," katanya ketika diwawancara pada Inisiatif Masa Depan di Riyadh.

"NEOM bermakna menjadi kompetitif. Kami mahu yang paling bijak dan terbaik di dunia datang ke NEOM," ujarnya.

Bradley berkata, NEOM akan menggunakan robot dan teksi udara selain akan menyambut kedatangan penduduk dan bisnes menjelang tahun 2025.

Sebelum ini, seorang pegawai Arab Saudi memberitahu AFP bahawa cadangan membenarkan penggunaan minuman alkohol dalam bentuk yang terhad di kawasan-kawasan tertentu atau hanya dikhaskan kepada warga asing sedang dipertimbangkan. - AFP