Parti persiapkan jentera, sedia hadapi perang PRN Melaka

Sama ada parti pembangkang mahupun parti kerajaan, kesemuanya mahu menyasarkan titik kemenangan dalam PRN Melaka.
Sama ada parti pembangkang mahupun parti kerajaan, kesemuanya mahu menyasarkan titik kemenangan dalam PRN Melaka.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap kumpulan parti telah mempersiapkan barisan jentera masing-masing dengan memilih calon-calon sesuai untuk menghadapi ‘perang’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Sama ada parti pembangkang mahupun parti kerajaan, kesemuanya mahu menyasarkan titik kemenangan dalam PRN Melaka ini sebelum mengorak langkah ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada Rabu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan BN akan memilih calon-calon muka baharu dalam menghadapi PRN Melaka.

Ujar beliau, calon-calon lama diyakini akan menyokong keputusan tersebut dan akan memberi peluang kepada anak-anak muda untuk diketengahkan sebagai calon.

Dalam perkembangan yang sama, Perikatan Nasional (PN) mempunyai idea berbeza apabila mempertaruhkan individu berpengalaman serta muka baharu sebagai calon parti itu bagi PRN Melaka.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kesepakatan itu dicapai hasil perbincangan bersama komponen PN.

PN dianggotai Bersatu, Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Dalam pada itu, persaingan menjadi semakin sengit apabila Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyatakan hasrat akan turut bertanding pada PRN Melaka.

Artikel Berkaitan:

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, untuk itu, pihaknya kini berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi meletakkan calon Muda pada PRN berkenaan.

Semasa ditanya pemberita sama ada Muda akan bertanding di bawah tiket PH memandangkan parti itu masih belum disahkan pendaftarannya, Ahli Parlimen Muar itu berkata, perkara itu masih dibincangkan.

Syed Saddiq berkata, pihaknya akan mengetengahkan calon muda yang dinamik, berpengalaman dan mempunyai trek rekod perkhidmatan yang baik.

Sementara itu, Pas memberi bayangan keputusan rundingan bersama UMNO untuk menghadapi PRN Melaka pada November depan ke arah positif.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan dan bakal mencapai kata putus tidak lama lagi.

Oleh itu, parti Muda dan Pas masih dalam peringkat rundingan untuk menentukan hala tuju strategi mereka dalam memasuki PRN Melaka.

Dijangkakan parti-parti berkenaan akan memaklumkan mengenai ketetapan dan status mereka dalam PRN Melaka dalam masa yang terdekat ini.