Perokok kembali bebas, salah siapa sebenarnya?

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BERMULA dengan satu hantaran baru-baru ini di laman mikro Twitter, seorang pengguna mengingatkan semula tentang larangan merokok di kedai makan dan isu itu muncul kembali apabila status tersebut dikongsi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Hasil perkongsian tersebut, isu yang sekian lama seperti ‘disenyapkan’ kembali mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi selepas Khairy memuat naik gambar-gambar menunjukkan beberapa penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan operasi pematuhan larangan merokok di tempat awam.

Hakikatnya, larangan merokok di kedai makan yang dikuatkuasakan sejak 2019 masih berjalan, namun entah apa sebabnya ia seperti tidak diendahkan golongan perokok.

Apa yang boleh diperhatikan adalah susulan kelonggaran yang diberi kerajaan dengan membenarkan makan secara dine-in di premis makanan, sebilangan perokok barangkali beranggapan merokok selepas dine-in termasuk dalam ‘pakej’ kelonggaran tersebut.

Kenyataan itu diakui Khairy sendiri. Katanya, perbuatan merokok di tempat makan kembali meningkat susulan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan semula aktiviti makan di premis kedai dan restoran.

Menurut Khairy, sejak Januari hingga 24 Oktober, sebanyak 3,419 notis kesalahan di tempat makan dikeluarkan di bawah Seksyen 32B, Penguatkuasaan Larangan Merokok di bawah Peraturan 11(1) PPKHT 2004 (PPKHT).

Merokok mungkin satu aktiviti ‘wajib’ bagi perokok selepas makan, namun mereka perlu mengetahui aktiviti itu tidak lagi dibenarkan secara terbuka di kedai makan.

Ia adalah kesalahan dan jika ditangkap, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Langkah tegas kerajaan diharap disusuli dengan penguatkuasaan yang konsisten agar tiada ruang bagi perokok menganggap larangan berkenaan hanya bersifat bermusim.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, ia perlu dijadikan satu langkah ke hadapan mewujudkan lebih banyak persekitaran bebas asap rokok demi kesihatan awam yang lebih baik.