Nurseri jual pokok keladi 'harga marhaen' diserbu

Mohd Riban (kanan) memberikan penerangan tentang jenis-jenis pokok hiasan dan harga keladi kepada pelanggan yang singgah di nurserinya di Kampung Barokas, Kuala Nerang pada Rabu.
Mohd Riban (kanan) memberikan penerangan tentang jenis-jenis pokok hiasan dan harga keladi kepada pelanggan yang singgah di nurserinya di Kampung Barokas, Kuala Nerang pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERANG - Sebuah kedai nurseri yang menjual pokok keladi hiasan pada harga marhaen di Kampung Barokas, dekat sini diserbu peminat pokok tersebut dari luar Kedah selepas kerajaan memberi kebenaran rentas negeri pada 11 Oktober lalu.

Pemilik nurseri tersebut, Mohd Riban Zainon, 46 berkata, dia tidak menyangka usahanya menjual harga pokok hiasan tersebut bermula RM10 hingga RM30 bagi jenis keladi seperti half moon, white krismas, red flash, daging urat merah, daging urat hijau dan pink beauty membuahkan hasil.

Menurutnya, pelbagai jenis keladi dijual pada harga berbeza tetapi tumpuan utama kepada keluaran Thailand, Florida dan Holland.

"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan terhadap pokok hiasan ini tinggi dan memang saya selalu akan menghantar menggunakan perkhidmatan pos ke seluruh negara selepas pembelian dilakukan dalam talian.

"Kini, selepas kebenaran merentas negeri dibenarkan, pelanggan bukan sahaja dari sekitar Kedah tetapi juga ada yang datang dari Perlis, Pulau Pinang dan Perak," katanya semasa ditemui di nurserinya di Kampung Barokas pada Rabu.

Mohd Riban berkata, kehadiran pelanggan ke nurseri bukan sahaja memberi nafas baru kepada perniagaannya tetapi juga kepada seluruh nurseri yang beroperasi di negara ini.

Mohd Riban (kanan) memberikan penerangan tentang jenis-jenis pokok hiasan dan harga keladi kepada pelanggan yang singgah di nurserinya di Kampung Barokas, Kuala Nerang pada Rabu.
Mohd Riban (kanan) memberikan penerangan tentang jenis-jenis pokok hiasan dan harga keladi kepada pelanggan yang singgah di nurserinya di Kampung Barokas, Kuala Nerang pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, dia berkata, rata-rata pelanggan yang datang ke kedainya membeli secara borong dan pekerja juga tidak menang tangan apabila sebahagian stok pokok hiasan yang baharu tiba dari luar juga habis dalam tempoh yang singkat.

"Saya mampu menjual pada harga marhaen kerana sebahagiannya saya semai sendiri dan kos juga tidak begitu tinggi. Saya boleh membantu pelanggan mendapatkannya pada harga yang tidak begitu tinggi. Golongan yang bukan berpendapatan tinggi boleh miliki pokok hiasan ini pada harga yang murah.

"Pokok keladi hiasan ini sedang menjadi tumpuan. Selain keladi harga marhaen, saya juga turut menjual keladi yang bermula harga RM1,000 sehingga RM1,500 antaranya jenis colocasia mojito, albino, mohizza varigated, tea cup dan white larva rate," ujarnya.

Sementara itu, seorang pelanggan dari Perlis, Sulaiman Salleh, 35 berkata, dia singgah untuk membeli pokok keladi hiasan di nurseri tersebut kerana dijual pada harga yang berpatutan.

"Kebetulan balik ke rumah mertua di Kuala Nerang jadi kami ambil kesempatan untuk membeli pokok hiasan untuk perhiasan rumah kami kerana isteri suka menghias lama rumah dengan pokok-pokok ini," katanya.