Rexy tekad bantu Malaysia dapat pingat emas

Rexy. - Foto Tribunolahraga.com
Rexy. - Foto Tribunolahraga.com
A
A
A
LEGENDA Indonesia, Rexy Mainaky berazam menghadiahkan pingat emas buat skuad badminton negara pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menerima tawaran berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.

Menurut pakar beregu berusia 53 tahun itu, dia yakin hasrat berkenaan mampu direalisasikan berdasarkan kepada program-program pembangunan yang giat dilaksanakan BAM pada masa ini.

“Ketika di Thailand, saya selalu mengikuti berita mengenai BAM. Lagipun, saya pernah bersama BAM selama tujuh tahun setengah.

“Setelah melihat program-program itu, saya dapati kesemuanya sangat bagus kerana mencakupi sasaran untuk Olimpik 2024 dan seterusnya Olimpik 2028.

“Kesemua ini membuatkan saya tertarik untuk menerima tawaran BAM dan berharap agar hasrat untuk menyaksikan Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2024 berjaya direalisasikan,” katanya yang bakal mengakhiri khidmat bersama Persatuan Badminton Thailand (BAT) berakhir bulan ini pada sidang media dalam talian pada Rabu.

Pada Isnin, BAM menerusi satu kenyataan media memaklumkan Rexy dilantik sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan dijangka melaporkan diri di Akademi BAM di Bukit Kiara pada 1 Disember ini.

Mengulas lanjut, Rexy berkata, dia akan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann bagi mencari kaedah terbaik supaya dalam kalangan pemain memahami dengan jelas sasaran ditetapkan terhadap mereka.

Justeru katanya, pemain juga diharapkan memiliki hala tuju serta sasaran masing-masing untuk dicapai selama mewakili negara.

“Bagi saya prestasi pemain Malaysia cukup baik, cuma mereka tidak konsisten dan perkara inilah antara yang akan dibincangkan nanti.
Artikel Berkaitan:


“Selain itu, pemain juga perlu mempunyai sasaran mereka sendiri untuk dicapai dan kita akan satukan dengan sasaran yang telah kita tetapkan,” katanya.