X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Malaysia gesa negara peserta konvensyen terima lebih ramai pelarian Rohingya

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 57 peratus daripada populasi pelarian di Malaysia adalah dalam kalangan Rohingya. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR- Malaysia menggesa semua pihak supaya dapat berkongsi tanggungjawab, terutama dalam kalangan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 bagi menghormati dan terus komited terhadap obligasi perundangan antarabangsa mereka bagi menerima lebih ramai pelarian Rohingya sama ada untuk penempatan atau pemindahan semula.

Berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-16 yang diadakan secara maya pada malam Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 57 peratus daripada populasi pelarian di Malaysia adalah dalam kalangan Rohingya.

Meskipun Malaysia tidak menyertai Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967 berkaitan, ia menghulurkan bantuan dan perlindungan kepada pelarian atas dasar kemanusiaan, termasuk memberikan pendidikan dan jagaan kesihatan.

"Malaysia percaya bahawa sokongan berterusan antarabangsa, bantuan secara politik serta atas dasar kemanusiaan, ia dapat memberi kesan langsung serta positif kepada Rohingya selain ke arah kestabilan di rantau ini," katanya.

Situasi Rohingya di Myanmar tidak berubah dan mereka kekal menjadi sasaran pelbagai bentuk diskriminasi dan keganasan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menggesa Myanmar supaya menunaikan komitmennya untuk memulakan dan memastikan proses membawa pulang Rohingya dengan efektif selain melindungi hak asasi mereka.

EAS diadakan secara dalam talian sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei.

Ditubuhkan pada 2005, EAS, merangkumi 18 negara peserta, antaranya Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!